Notis penungguan Kembali Bekerja oleh Alliance Steel (M) Sdn Bhd membelenggu nasib ratusan pekerja warganegara Malaysia

KUANTAN – Ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’, itu nasib yang menimpa pekerja industri di kawasan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Gebeng, dekat sini.

Mereka yang baharu menghabiskan kuarantin di pusat kuarantin, menerima notis cuti tanpa gaji oleh majikan.

Mohd Syaiduddin Abdullah, 44, yang merupakan salah seorang daripada 500 pekerja yang menerima notis itu mendakwa, setakat ini tiada perbincangan diadakan antara majikan dan pekerja.

Mohd Syaiduddin Abdullah

Merasakan diri dianiaya tanpa penjelasan yang kukuh oleh pihak majikan, Syaifuddin mewakili ratusan pekerja hadir ke Jabatan Tenaga Kerja Kuantan untuk membuat aduan terhadap tindakan majikannya, Alliance Steel (M) Sdn Bhd.

“Saya menerima notis selepas tamat kuarantin pada 21 Julai lalu tanpa sebarang penjelasan oleh pihak atasan.

“Bukan saya saja yang mendapat notis bermula 22 Julai 2021, malahan mereka yang menantikan giliran kuarantin bakal menerima nasib yang sama,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Mohd Syaiduddin, apa yang pelik apabila semua yang diberi notis cuti tanpa gaji ialah pekerja warga tempatan manakala pekerja warga asing yang bekerja di MCKIP dibenarkan bekerja seperti biasa.

Tambah beliau, sehingga kini tiada pampasan diberikan sedangkan para pekerja mempunyai tanggungan.

MalaysiaGazette difahamkan melalui notis tersebut, pihak pengurusan syarikat meminta semua kakitangan melakukan proses vaksinasi sebelum dibolehkan kembali bertugas.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pekerja Mahir Kren Menara Malaysia (PERKREMA), Raziz Abdul Rahman berkata, pihaknya mendapati berlaku penindasan hak dan kebajikan pekerjaan.

“Ia menyalahi Akta 265 Akta Kerja 1955 diberi cuti tanpa gaji tanpa persetujuan pekerja dan lebih memburukkan keadaan, mereka tidak dinyatakan tarikh nyata dalam surat tersebut ibarat gantung tidak bertali,” ujarnya. – MalaysiaGazette