Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman. Foto AFFAN FAUZI, 27 JANUARI 2021.

SUBANG JAYA – Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung amang seksual yang melibatkan seorang artis lelaki era 80-an dengan seorang remaja perempuan pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya kelak.

“Kita juga sedang menunggu hasil laporan perubatan daripada doktor mengenai status kesihatan mangsa berkenaan yang belum pasti bila akan diperolehi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pada Rabu lalu, artis lelaki berusia 65 tahun itu ditahan polis pada jam 11 malam di perkarangan Balai Polis USJ 8, Subang Jaya bagi membantu siasatan berkaitan kes amang seksual terhadap seorang remaja perempuan.

Tangkapan itu dilakukan setelah mangsa yang berumur 14 tahun membuat laporan polis pada jam 3 petang hari yang sama.

Tambah beliau, polis telah selesai merakam keterangan daripada individu-individu yang mempunyai kaitan dengan mangsa serta suspek dalam kejadian itu.

Menurut Abd Khalid, suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis sejurus selepas selesai mengambil keterangan daripadanya memandangkan beliau menghidap penyakit jantung.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Ujarnya, siasatan awal yang dilakukan polis mendapati kejadian pertama berlaku pada Ogos 2020 di rumah kawan ibu mangsa di Puchong, Selangor.

“Dua lagi kejadian berlaku pada bulan Oktober dan November 2020 di rumah suspek sendiri di Puchong, Selangor,” ujar beliau.

Abd Khalid berkata, kejadian sekali lagi berlaku pada Januari lalu dan disebabkan takut, mangsa hanya mendiamkan diri.

“Mangsa yang masih dalam tingkatan dua itu kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya. -MalaysiaGazette