Mohd. Shafie Apdal, Semporna, Parlimen, calon
Mohd Shafie Apdal

KUALA LUMPUR – Sesi Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas panas apabila Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohamad Mohd.  Shafie Apdal bangun mempersoalkan perjalanan sidang hari ini.

Menurut beliau, persidangan khas yang berlangsung hari ini dilihat sudah menyimpang daripada landasan sebenar.

“Saya minta penjelasan pertama sama ada persidangan ini selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan adakah ini selaras dengan Perlembagaan Malaysia.

“Kalau kita bercanggah dengan itu kita sudah melanggar persidangan yang kita bincang pertama Ordinan Darurat, boleh dikatakan kita dalam keadaan darurat.

“Tapi kita juga kena sedar Proklamasi Darurat jelas iaitu hanya untuk mengatasi masalah Covid-19. Ia tidak menyatakan gantung peraturan mesyuarat serta tangguhkan Perlembagaan Malaysia,” katanya di dalam Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Semporna itu berpendapat bahawa kerajaan tidak boleh menggantung peranan Perlembagaan Persekutuan.

Malah katanya, pelaksanaan persidangan khas ini perlu melalui sesi undian oleh ahli-ahli Parlimen.

“Saya nak tahu adakah ini bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia. Kita tidak boleh gantung Perlembagaan Malaysia, kalau sekiranya kita nak ubah persidangan ini kita kena adakan sesi undian.

“Begitu juga dengan Proklamasi Darurat, ia perlu didebatkan dan diundi.

“Kita tidak boleh rubber stamp untuk hanya meluluskan undang-undang di negara ini yang membabitkan nyawa manusia,” katanya.

Untuk rekod, dalam persidangan khas hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada sidang khas ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, persidangan selama lima hari itu juga akan menyaksikan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba memberi penerangan mengenai tindakan menangani pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Umpama DUN SABAH sengaja diBUBARKAN utk test power WARISAN…DAN sidang Parlimen diadakan segera…..BILA ramai terkena jangkitan covid 19 Ramailah yang mula Tuding jari dan tidak mengaku angkara mereka.
    sebelum ni ramai yang Sombong dengan ALLAH….tuduh tiada kesan lockdown dan tiada yang boleh dibangga dgn bantuan kerajaan….TETAPI bila terkena BATANG HIDUNG sendiri pandai pula minta bantuan frontliner /hospital kerajaan minta DOA dan DERMA orang ramai
    mereka terus berlagak HERO TAMIL jika kuasa ditangan mereka pasti covid ini sudah selesai…..pegang kuasa 22 bulan sibuk pula kejar jadi PM.

Comments are closed.