Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim (kanan) berbual bersama Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad.

KUALA LUMPUR – Perang mulut antara ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang terus berlaku pada sesi petang ini apabila Pengerusi Ahli-Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC) Datuk Seri Shahidan Kassim diganggu semasa berucap.

Ahli Parlimen Arau (UMNO) itu kemudiannya menyelar ahli Parlimen pembangkang yang sering mengganggunya sebagai gangguan orang sakit mental.

Shahidan sebelum ini menyindir kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang gagal mengendalikan keadaan ketika awal penularan virus Covid-19 di negara ini.

“Gangguan orang sakit mental ini menyebabkan saya tidak dapat menghabiskan perbahasan ini. Orang ini kena periksa di hospital terlebih dahulu,” katanya pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang bangkit menyerang Shahidan dan menyifatkan beliau sendiri perlu pergi mendapatkan rawatan mental.

Shahidan juga memberi jaminan untuk kekal dalam dewan kerana telah diganggu dengan teruk terutama oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.

Beliau berjanji akan membalas dendam untuk mengganggu Khalid sekiranya pemimpin Amanah itu berucap di Dewan Rakyat kelak.

“Saya hendak bercakap bagi pihak rakyat, rakyat Arau, Perlis,” katanya.

Shahidan dan Khalid juga terus bertekak mengenai peruntukan RM300,000 untuk program bakul makanan apabila beliau mendakwa dapat membantu 6,000 rakyat di Arau.

Namun Khalid mempertikaikan perbezaan populasi penduduk antara Parlimen Arau dan Shah Alam dan jumlah itu tidak mencukupi. – MalaysiaGazette