Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tanpa perbahasan sepanjang persidangan Dewan Rakyat menyukarkan pembangkang untuk membincangkan kedudukan berkaitan Ordinan Darurat.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengulangi kenyataan yang Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini tidak diadakan secara kelaziman sebaliknya sekadar sesi penerangan daripada kerajaan.

“Agak jelas bahawa tidak ada sidang Parlimen pada pagi ini sebaliknya ianya satu majlis penerangan oleh kerajaan kepada wakil-wakil rakyat yang diadakan di Dewan Rakyat itu sebenarnya yang berlaku.

“Sebab itu kami dalam PEJUANG berpendapat untuk menurut titah Agong maka persidangan Parlimen itu untuk membahas, menolak, bersetuju atau meminda Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) di dalam Dewan Rakyat.

“Walaupun demikian kita berpendapat banyak kenyataan-kenyataan dan tidak mengikut cara biasa. Umpamanya bahawa segala ordinan yang diperkenalkan waktu darurat sudah dimansuh, ini bermkana ordinan ini melibatkan perbelanjaan wang apabila dimansuh apa jadi dengan peruntukan-peruntukan wang yang telah dibelanjakan dan akan dibelanjakan, itu persoalan kita,” katanya menerusi sidang media dalam talian hari ini.

Tambah Dr. Mahathir, persidangan Dewan Rakyat selama lima hari tidak akan membantu kerajaan menangani pandemik Covid-19 sekiranya tidak ada perbahasan dan perbincangan dalam kalangan ahli-ahli Parlimen.

“Kita berpendapat keadaan sekarang serius dan sepatutnya hari ini kita bincang cara-cara mengurangkan kes-kes baharu Covid. Tetapi ini nampak tidak ditumpukan kerajaan sebaliknya kewajaran bincang angka-angka yang tidak relevan berbanding dengan perkembangan wabak Covid-19.

“Sebab itu kita berpendapat sepatutnya sidang selama lima hari ini tidak diadakan untuk memberi penerangan kerana ini tidak menolong melawan wabak sebaliknya bincang cara-cara mengurangkan perkembangan penyakit ini,” tambahnya.

Hari ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam Dewan Rakyat memaklumkan kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.

Kerajaan juga, katanya, memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.

Untuk rekod Pejabat Perdana Menteri pada 5 Julai yang lalu berkata, Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 hari ini diadakan untuk memberi penerangan kepada ahli-ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast