Bekas ketua penolong pegawai daerah, Nazri Izuddin Madon ( kanan) mengaku tidak bersalah menerima rasuah di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Bekas Ketua Penolong Pegawai Daerah Segamat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM10,000 pada Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Nazri Izuddin Madon, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, Nazri Izuddin didakwa memperoleh secara rasuah ke atas dirinya wang tunai berjumlah RM10,000 daripada seorang individu.

Ia sebagai dorongan bagi tertuduh untuk melantik syarikat tertentu melaksanakan kerja projek bantuan rumah negeri Johor dan projek kerja kecil dalam daerah Segamat untuk tahun 2020.

Perbuatan dilakukan  di Pejabat Daerah Segamat kira-kira jam 2.45 petang pada 19 Oktober tahun lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong, manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Rahim Ali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara, pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Johor setiap bulan.

Beliau yang diwakili peguam  bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan ke RM7,000 berikutan tertuduh menanggung dua anak yang seorang daripada mempunyai penyakit ekzema kronik.- MalaysiaGazette