KUALA LUMPUR – Tindakan dua lelaki melanggar sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Parlimen hari ini rupa-rupanya bagi mengelak daripada diperiksa pihak berkuasa kerana mereka merupakan penagih dadah.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, kedua-dua lelaki itu menaiki kereta jenis Perodua Alza berwarna putih dan didakwa tidak berhenti di SJR dan terus membuat pusingan u, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.
Katanya, kenderaan dinaiki mereka kemudiannya terus memecut menghala ke arah Jalan Mahameru.
“Anggota yang bertugas di SJR Jalan Parlimen telah mengejar kenderaan yang dinaiki dua suspek itu sebelum berjaya menahan mereka.
“Siasatan awal mendapati suspek gagal untuk memberhentikan kenderaan semasa berada di SJR kerana mereka ketika itu berada di bawah pengaruh dadah dan merasa ketakutan sekiranya ditahan oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohamad Zainal, ujian air kencing telah dibuat dan hasil keputusan mendapati kedua-dua suspek adalah positif methaphetamine.
Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mengulas lanjut, katanya, semakan ke atas kenderaan yang dinaiki kedua-dua suspek telah didaftarkan atas nama seorang wanita.
“Polis sedang mengesan wanita yang dipercayai pemilik kenderaan berkenaan untuk merakam percakapan bagi membantu siasatan.
“Kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 25 tahun itu kini direman selama tiga hari sehingga 29 Julai ini bagi siasatan lanjut,” tegasnya.- MalaysiaGazette