Jangkitan baharu Covid-19 bertambah lagiĀ  hari ini dengan 26,534 kes dilaporkan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 42 lagi kluster baharu hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster-kluster itu dilaporkan di Johor, Selangor, Sabah, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Perak, Terengganu, Kelantan, Pahang, Sarawak dan Putrajaya.

Katanya, daripada 42 kluster yang dikenal pasti, 25 daripadanya adalah kluster tempat kerja, manakala, 12 lagi kluster membabitkan komuniti.

“Selain itu, dua lagi kluster berkaitan kumpulan berisiko tinggi, manakala dua lagi kluster membabitkan pusat tahanan dan satu lagi kluster adalah pendidikan lain.

“Sebanyak 3,527 kluster dilaporkan sehingga kini dengan 2,499 kluster dilaporkan tamat, manakala 1,028 kluster lagi masih aktif setakat hari ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, data terkini kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia sehingga semalam, adalah sebanyak 1.14.

“Negeri yang mencatatkan nilai RT tertinggi adalah Terengganu dengan 1.29 diikuti Kedah dan Johor dengan masing-masing merekodkan 1.26.

“Selain itu, negeri lain yang turut mencatatkan nilai RT melebihi 1 adalah Sabah (1.23), Kelantan (1.22), Perak (1.22), Pulau Pinang (1.19), Putrajaya (1.16), Selangor (1.14), Kuala Lumpur (1.14), Pahang (1.11), Melaka (1.04), Sarawak (1.04) dan Negeri Sembilan (1.00),” tambahnya. – MalaysiaGazette