Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR – Terdapat pertambahan sebanyak 22.5 peratus bilangan siswazah dalam guna tenaga tidak penuh dan siswazah menganggur direkodkan pada tahun lepas.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, laporan sebaran statistik Siswazah 2020 menunjukkan perihal keseluruhan penawaran buruh siswazah pada 2020 adalah mengikut ciri-ciri demografi dan sosioekonomi.

Menurutnya, siswazah dalam laporan itu ditakrifkan sebagai individu yang memperoleh sijil tertinggi daripada universiti, kolej,
politeknik, badan yang diiktiraf atau setaraf dengan dalam tempoh pengajian sekurang-kurangnya dua tahun.

“Persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan pada 2020 dan kesannya kepada kedudukan pasaran buruh telah menyebabkan bilangan siswazah menganggur meningkat ketara sebanyak 22.5 peratus (+37.2 ribu orang) kepada 202.4 ribu orang (2019: 165.2 ribu).

“Pertambahan ini dilihat bagi kedua-dua pemegang Ijazah (+22.4 ribu orang) dan Diploma (+14.8 ribu orang) sebahagian besarnya dalam kalangan siswazah berumur 35 tahun dan lebih.

“Justeru, kadar pengangguran siswazah pada 2020 naik sebanyak 0.5 mata peratus kepada 4.4 peratus berbanding 3.9 peratus pada tahun sebelumnya. Selain itu, lebih 75 peratus daripada siswazah menganggur adalah mereka yang aktif mencari kerja yang mana hampir separuh menganggur bagi tempoh kurang dari tiga bulan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beralih kepada siswazah bekerja, Mohd Uzir berkata, dalam kalangan 4.35 juta siswazah bekerja pada tahun lepas, lebih daripada dua pertiga atau 68.8 peratus bekerja dalam kategori pekerjaan mahir, namun bilangannya berkurang sebanyak 0.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pengurangan itu, kata beliau, dilihat dalam kategori pekerjaan profesional serta juruteknik dan profesional bersekutu.

Sementara itu, katanya, bagi kategori separuh mahir ia merekodkan peningkatan 19.3 peratus, terutamanya dalam kategori pekerja perkhidmatan dan jualan serta operator loji dan mesin serta pemasang.

“Sehubungan itu, komposisi siswazah bekerja dalam kategori separuh mahir meningkat kepada 28.9 peratus berbanding 25.6 peratus pada tahun sebelumnya. Manakala sebanyak 2.3 peratus siswazah bekerja adalah dalam kategori pekerjaan berkemahiran rendah,” ujarnya.

Mengulas lanjut berkenaan siswazah bekerja mengikut kemahiran Mohd Uzir memaklumkan, satu lagi dimensi untuk dinilai bagi siswazah dalam pasaran buruh adalah mereka yang bekerja tetapi tidak dapat digunakan sepenuhnya atau lebih dikenali sebagai guna tenaga tidak penuh.

Berhubung perkara itu, kata beliau, siswazah yang bekerja dalam kategori separuh mahir dan berkemahiran rendah diklasifikasikan sebagai guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran memandangkan mereka bekerja dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan tahap kelayakan mereka.

Jelasnya, kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran dalam kalangan siswazah meningkat kepada 31.2 peratus berbanding 26.7 peratus pada 2019 yang merekodkan seramai 1.36 juta orang (2019: 1.10 juta orang).

Situasi itu kata beliau, dilihat lebih ketara bagi siswazah diploma yang mencatatkan kadar 46.1 peratus manakala, siswazah ijazah merekodkan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran pada 19.2 peratus.

Keadaan itu juga dapat dikaitkan dengan jumlah kekosongan jawatan yang lebih rendah di sektor ekonomi pada tahun 2020 seperti dinyatakan dalam Laporan Statistik Guna Tenaga yang dikeluarkan oleh DOSM yang mana bilangan jawatan kosong kategori mahir berkurang sebanyak 16.1 peratus manakala jawatan separuh mahir dan berkemahiran rendah berkurang pada kadar yang lebih kecil iaitu masing-masing negatif 9.5 peratus dan negatif 9.7 peratus, katanya.

Jelas beliau lagi, guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran merupakan isu struktur pasaran buruh dengan kadar dalam lingkungan 22 ke 26 peratus sejak siri masa 2016 telah mengalami peningkatan mendadak setelah negara berdepan pandemik pada tahun lalu.

Situasi guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran turut berlaku di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom dengan kadar guna tenaga tidak penuh siswazah sejak lima tahun kebelakangan adalah dalam lingkungan 33 hingga 35 peratus, tambahnya.

“Dari segi taraf pekerjaan siswazah bekerja, kategori pekerja yang merangkumi 87.2 peratus, meningkat pada kadar yang lebih perlahan iaitu 6.7 peratus (8.3 peratus).

“Begitu juga dengan kategori majikan yang terdiri daripada 4.5 peratus mencatatkan kenaikan 5.3 peratus (-5.3 peratus),” katanya.

Sebaliknya, bilangan siswazah bekerja sendiri yang meliputi 7.1 peratus daripada siswazah bekerja turun 5.8 peratus pada 2020 (-10.1 peratus),” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast