Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mencatatkan peningkatan jumlah deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) melalui Kempen Ganjaran Kesetiaan SSPN-i 2021.

Ia berlangsung pada 24 Februari hingga 30 April 2021 lalu, kata Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Terdahulu, menurutnya, PTPTN telah melancarkan Kempen Ganjaran Kesetiaan SSPN-i 2021 pada kadar satu peratus sebagai hadiah istimewa dan tanda penghargaan PTPTN kepada pendeposit yang membuat simpanan dalam jangka masa panjang.

“Pendeposit SSPN-i sebelum tahun 2018 yang membuat simpanan terkumpul dengan jumlah minimum sebanyak RM500 dalam tempoh promosi serta tidak membuat
pengeluaran simpanan daripada akaun sehingga 30 Jun 2021 layak menyertai kempen ini.

“Ganjaran Kesetiaan pada kadar satu peratus tersebut telah dimasukkan ke dalam 44,561 akaun SSPN-i yang layak dengan peruntukan berjumlah RM2.43 juta,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Ahmad Dasuki, ia merupakan manfaat tambahan selain dividen tahunan yang diberikan oleh PTPTN kepada pendeposit SSPN-i atas simpanan yang dibuat dalam tempoh kempen.

Pendeposit SSPN-i yang terlibat boleh membuat semakan Ganjaran Kesetiaan di penyata SSPN-i melalui Portal Rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my mulai 25 Julai 2021.

Jumlah deposit SSPN-i yang diterima sepanjang tempoh Kempen Ganjaran Kesetiaan SSPN-i bagi tahun 2021 adalah sebanyak RM244.71 juta iaitu menunjukkan peningkatan sebanyak RM121.74 atau 99 peratus berbanding tahun 2020 iaitu RM122.97
juta.

Manakala, kata Ahmad Dasuki, sebanyak 44,561 akaun layak dan menerima Ganjaran Kesetiaan iaitu meningkat sebanyak 36 peratus berbanding 32,718 akaun pada tahun 2020.

“Peningkatkan ini jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia terus membudayakan amalan penabungan walaupun negara kini berada dalam keadaan pandemik Covid-19,” ujarnya.

Sehingga Jun 2021, jumlah deposit SSPN yang diterima bagi tahun 2021 adalah sebanyak RM1.26 bilion atau 70 peratus daripada sasaran tahun 2021 berjumlah RM1.8 bilion.

Manakala, sebanyak 192,006 akaun baharu telah dibuka atau 48 peratus berbanding sasaran tahun 2021 sebanyak 400,000 akaun.

“PTPTN mengucapkan terima kasih kepada pendeposit SSPN-i yang setia membuat simpanan bersama PTPTN untuk jaminan masa depan pendidikan.

“Teruskan membuat simpanan di dalam SSPN-i kerana ia menawarkan pelbagai keistimewaan kepada pendeposit seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, dividen yang kompetitif, simpanan dijamin oleh kerajaan, pemberian geran sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga dan patuh syariah,” katanya.

Pendeposit SSPN-i juga berpeluang memenangi hadiah hebat bernilai hampir RM240,000 melalui promosi Stay Safe & Win SSPN-i 2021 yang sedang berlangsung sehingga 30 September 2021 dengan hadiah utama berupa kereta Proton X50.

Layari www.lovesspn.com untuk membuka akaun atau membuat penambahan deposit SSPN-i.- MalaysiaGazette