MOSCOW – Rusia mula membangunkan pesawat pusat perintah udara dikenali dengan gelaran Doomsday yang dinaik taraf, lapor agensi berita milik kerajaan, RIA Novosti.

Pesawat Doomsday sedia ada, Ilyushin Il-80s, yang beroperasi pada 1980an direka untuk membawa keluar Presiden Rusia dan pegawai atasan jika berlaku konflik nuklear selain membenarkan mereka memberi arahan kepada tentera di darat.

Pesawat tersebut hampir tidak mempunyai tingkap bagi memastikan keselamatan mereka yang berada dalam kokpit daripada kesan letupan nuklear.

Versi baharu pesawat yang diambil daripada pesawat Ilyushin Il-96-400M kini dibina di bandar Voronezh, selatan Rusia, menurut RIA Novosti yang memetik sumber yang tidak mahu dikenali.

“”Tentera aero angkasa Rusia akan menerima dua pusat kawalan perintah udara untuk Il-96-400M. Salah satu sedang dibina,” kata sumber itu.

Pesawat baharu itu, seperti pesawat sebelumnya, berupaya mengisi bahan bakar di udara dan ia akan diiringi jet pejuang.

Selain dilengkapi dengan teknologi canggih berbanding pesawat Il-80, jarak penerbangan pesawat Il-96-400M dijangka dua kali ganda daripada pesawat Il-80.

Sistem radionya mampu menyampaikan arahan pelancaran nuklear kepada pelancar penerbangan strategik, pelancar bergerak, pelancar peluru berpandu dan kapal selam pada jarak radius 6,000 kilometer.

Banyak spesifikasi pesawat Il-80 tidak diketahui kerana maklumat mengenai pesawat tersebut adalah rahsia kerajaan.

Pada tahun lalu, Kremlin berkata, peralatan sensitif daripada pesawat Il-80 telah dicuri semasa kerja-kerja menaik taraf dilakukan. – MalaysiaGazette