Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Keputusan supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjawab berkaitan penamatan Ordinan Darurat pada Isnin ini kerana mengikut aturan mesyuarat.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memberitahu, beliau berbuat demikian kerana mengikut aturan mesyuarat yang menetapkan persidangan khas lima hari bermula semalam hingga 30 Julai ini untuk memberi penerangan mengenai Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Beliau berkata, desakan ahli Parlimen pembangkang supaya Takiyuddin menjawab isu itu hari ini bukan Isnin supaya tidak mengganggu perjalanan aturan mesyuarat.

Penjelasan Azhar itu bagaimanapun menimbulkan rasa tidak puas hati pembangkang termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu Takiyuddin menjelaskan segera mengenai asas penamatan Ordinan Darurat pada 21 Julai, bukan 1 Ogos yang ditetapkan.

“Kita hanya minta Ahli Parlimen Kota Bharu menjawab yang asas sahaja hari ini, yang terperinci tu boleh jawab Isnin sebagai diputuskan oleh speaker.

“Yang kita bincangkan pasal MPN semalam ada dalam proses Ordinan Darurat. Ini yang kita bincangkan tapi kita tidak diberitahu seolah ada yang tersembunyi di sebalik ‘telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Kita tengok dari tadi lagi, Menteri (Takiyuddin) dan Perdana Menteri tidak boleh jawab dan mereka tidak mahu jawab persoalan ini,” kata Ahli Parlimen Port Dickson (PKR).

Azhar Azizan kemudian menyatakan keputusannya adalah tetap untuk memberi ruang kepada Menteri Undang-Undang menjawab mengenainya pada Isnin, bukan hari ini.

Keputusan itu mendapat bantahan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd. Samad (Amanah) yang menyifatkan isu dibangkitkan pembangkang bukan berhubung urusan mesyuarat.

Sebaliknya, ujar beliau, ia berkait dengan apa yang disebutkan oleh Takiyuddin semalam, yang perlu dijelaskan pada hari ini.

“Apabila Takiyuddin sebut penamatan Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu, ini mengejutkan semua Ahli Parlimen, jadi, dia kena jawab hari ini. Kalau tidak kenyataan beliau itu mengelirukan rakyat,” katanya.

Speaker bagaimanapun tetap mempertahankan keputusannya dengan menyatakan, mengikut urusan aturan mesyuarat, hari pertama persidangan membincangkan hal MPN, hari kedua (hari ini) penerangan dari Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

“Hari ketiga, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memberi penerangan dan hari keempat peluang Menteri Kewangan. Kita tidak mempunyai masa mencukupi untuk bincang isu penamatan Ordinan Darurat.

“Sebab itu, saya tetapkan hari Isnin ini untuk Menteri Undang-Undang menjawab dan pada hari itu, pembangkang ada masa secukupnya untuk bertanya,” katanya.

Ketika ini, Takiyuddin tidak ada dalam dewan juga menyebabkan ramai kalangan pembangkang menyifatkannya sebagai pengecut kerana ‘lari’ daripada berdepan dengan tekanan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Takiyuddin jawab isu batal Ordinan Darurat Isnin ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast