IMBAS KEMBALI. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin membuat lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dalam sektor pengakutan udara di Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto SYAFIQ AMBAK, 06 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 16,133 sukarelawan bukan kesihatan telah menyumbang bakti dalam pengoperasian di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, sehingga 22 Julai lalu, terdapat 2,313 PPV pelbagai saiz dan kapasiti sedang beroperasi di seluruh negara.

Kesemua mereka terdiri daripada penjawat awam yag jumlahnya 1,373 orang, Sukarelawan Bukan Kesihatan (7,724), Angkatan Pertahanan Awam (3,275), RELA (2,902) dan Angkatan Tentera Malaysia serta Polis Diraja Malaysia (859), katanya.

“PPV Mega Tier 1 ada 17, PPV Mega Tier 2 (16), PPV Awam Bukan Kesihatan (300), PPV Institusi Pengajian Tinggi (16), PPV Pandu Lalu (4), PPV Klinik Kesihatan (193), PPV ‘Special’ (124), PPV Klinik Pakar Swasta (1,443), PPV Hospital Swasta (121), PPV Ambulatori (19) dan PPV Industri sebanyak 60.

“Ini tidak termasuk inisiatif unit vaksinasi bergerak dan program jangkau luar komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan mengenai PICK pada mesyuarat khas di Dewan Rakyat hari ini.

Khairy berkata, jumlah vaksin yang diterima menerusi perolehan kerajaan sehingga 26 Julai lalu adalah sebanyak 23,884,920 dos.

Ujarnya, sebanyak 1,085,790 dos diterima pada suku pertama 8,906,530 dos yang dihantar pada suku kedua dan bakinya diterima pada bulan Julai ini.

Menurutnya lagi, pengagihan vaksin mengambil kira jumlah vaksin yang sudah dihantar, jumlah populasi negeri dan nilai ambang di bawah Pelan Pemulihan Negara supaya setiap negeri dapat beralih daripada satu fasa kepada fasa dalam tempoh masa yang tidak jauh berbeza antara negeri.

Tambahnya, jumlah vaksin yang terdapat di dalam portfolio PICK adalah fasiliti Covax meliputi 10 peratus populasi negara, Pfizer-BioNTech (70 peratus), AstraZeneca (10 peratus) dan Sinovac 19.4 peratus.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, sebanyak 553,871 dos vaksin diberikan semalam, menjadikan jumlah vaksinasi harian melebihi 500,000 dos untuk dua hari berturut-turut.

Jelasnya, daripada jumlah itu, sebanyak 356,112 adalah untuk dos pertama manakala, 197,759 bagi dos kedua.

Katanya, jika dibandingkan dengan pemberian vaksin harian pada Februari hingga Jun, sebanyak lapan juta diberikan dalam tempoh itu.

“Untuk bulan Julai saja, kadar pemberian vaksinasi adalah 10 Juta,” ujarnya.

Tambah beliau, seramai 1.07 juta orang menerima vaksin untuk dua hari pada Isnin dan semalam membabitkan dua peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara ini.

Untuk dua hari saja, sebanyak 692,000 populasi menerima vaksin dan angka itu melebihi sasaran pemberian vaksin harian, iaitu lebih 500,000 dicatatkan menerima vaksin dalam sehari. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Syabas YB. Harap dapat diperbanyakkan PKRC pula supaya pesakit covid terjaga dan tiada kematian dirumah kerana kuarantin kendiri. Ramai bekas-bekas pesakit covid sedia menjadi sukarelawan.

Comments are closed.