Yayasan Kebajikan Insan komited untuk membantu golongan yang terjejas ketika pandemik sepanjang masa.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 20 keluarga sekitar PPR Bandar Tun Razak di sini yang terkesan akibat pandemik Covid-19 menerima sumbangan sempena sambutan Aidiladha baru-baru ini.

Sumbangan itu disediakan oleh Yayasan Kebajikan Insan (YKI) yang memberitahu keperluan barangan dapur termasuk lemang.

Pengerusi YKI, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Ari berkata, bantuan yang dihulurkan ini telah dilaksanakan sejak Mac 2020, semasa negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, ketika ini ramai orang terutamanya golongan B40 terkesan dengan pandemik yang melanda negara terutama yang tinggal di bandar.

“Disebabkan kesusahan yang melanda masyarakat terutama mereka yang dalam golongan B40 ini, kita mengambil keputusan untuk terus membantu dan menyumbangkan barang keperluan asas kepada yang memerlukan.

“Setiap hari banyak permohonan bantuan keperluan makanan yang diterima, malah sehingga ke hari ini permohonan keperluan dapur sering mendapat permintaan.

“Alhamdulillah, sehingga kini ramai keluarga yang telah kami bantu terutama di Kuala Terengganu dan akan diteruskan sepanjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syarikat korporat dialu-alukan untuk memberi sumbangan kepada YKI bagi meneruskan program CSR pada masa akan datang.

Turut hadir pada program itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bandar Tun Razak, Ashrul Ashryzad Mohd Nashri.

Baru-baru ini YKI turut tampil menghulurkan bantuan peralatan bernilai RM45,000 kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang dalam usaha mengurangkan beban hospital itu memerangi wabak Covid-19.

Peralatan itu melibatkan mesin penapis air, pelitup muka pembedahan, kerusi, cecair pembasmi kuman, Vitamin C dan bakul spesimen darah.

Mengulas lanjut, Najmil Faiz mengalu-alukan penglibatan syarikat korporat untuk memberi sumbangan kepada YKI bagi meneruskan program CSR pada masa akan datang.

Jelas beliau, YKI sebelum ini turut membantu menghulurkan sumbangan kepada hospital lain antaranya Hosspital Angkatan Tentera Tuanku Mizan sejak pandemik Covid-19 menular di negara ini.

Sementara itu, syarikat atau individu yang ingin bekersama dengan YKI boleh menghubungi talian +6017-3777555 atau sumbangan boleh disalurkan kepada Yayasan Kebajikan Insan di akaun Affin Bank – 100040234710. – MalaysiaGazette