Noh Omar

KUALA LUMPUR – Rakyat Selangor perlu diberi bekalan vaksin lebih memandangkan negeri itu mencatatkan kadar tertinggi dalam wabak Covid-19.

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, mengikut data penerima satu dos vaksin, Selangor baru mencatatkan 40. 8 peratus.

Ia jauh lebih rendah berbanding ‘rakannya yang lain’ di Lembah Klang seperti Putrajaya sebanyak 78.8 peratus dan Kuala Lumpur sebanyak 117.2 peratus.

“Kenapa Selangor rendah terima vaksin? Macam mana boleh berlaku?” soalnya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, usaha pemberian vaksin perlu diutamakan memandangkan 50 peratus daripada mereka terlibat pandemik datangnya dari negeri itu.

Beliau juga mempersoalkan kenapa bekalan vaksin tidak dijual kepada swasta dan kerajaan negeri.

Menurutnya, sekiranya ia tidak menganggu proses vaksinasi kerajaan pusat, kebenaran boleh diberi kepada swasta dan kerajaan negeri membelinya.

“Bulan lepas mereka (Pharmaniaga) terpaksa tolak dua juta, China nak hantar sebab apa? Sebab simpanan yang ada ada selepas beri kerajaan 14.4 juta masih ada hari ini ada 3.2 juta.

“Persoalannya kenapa tidak boleh dijual vaksin ada pada Pharmaniaga?” soalnya.

Dalam pada itu, Noh juga mempertikaikan tindakan anak syarikat kerajaan negeri, Selcare yang membeli 800 dos vaksin yang kemudiannya menjualnya RM350 bagi dua dos.

Beliau juga mempertikaikan ada urusan bertindih antara kerajaan pusat dan kerajaan Selangor.

“Federal ada PICK, Selangor ada Selvax. Ada MySejahtera, Selangor ada Selangkah. Adakah kerana kerajaan negeri bawah PH (Pakatan Harapan) pandai-pandai buat sendiri, akhirnya jadi mangsa, rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette