Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni membaca doa bersama wakil taman selepas sidang media berkenaan status pemindahan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Taman Sri Andalas, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 28 JULAI 2021.

KLANG – Para penduduk Taman Sri Andalas boleh menarik nafas lega apabila Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Dewan Sukan Klang yang terletak berhampiran kediaman mereka akhirnya akan dipindahkan ke lokasi baharu iaitu di Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang pada Jumaat ini.

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni hari ini.

Beliau berkata, CAC bagi daerah Klang itu akan mula beroperasi di lokasi baharu bermula Isnin.

Menurut beliau, keputusan tersebut dicapai selepas beberapa siri pertemuan dan perbincangan yang dilakukan bersama Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Klang.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni bercakap kepada media berkenaan status pemindahan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Taman Sri Andalas, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 28 JULAI 2021.

“Perpindahan ini dilakukan kerana terdapat permintaan dan desakan daripada penduduk Taman Sri Andalas yang merasakan bahawa tempat ini tidak sesuai berikutan terlalu hampir dengan rumah penduduk.

“Kita juga lihat setiap hari lebih kurang 1,500 orang akan datang ke sini untuk membuat saringan jadi selepas dua minggu, kita lihat kehadiran individu yang dijangkiti Covid-19 masih tinggi dan tidak menurun,” katanya pada sidang media di pekarangan Surau An Naim, Taman Sri Andalas hari ini.

Artikel berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Zawawi yang juga merupakan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor itu berkata, keputusan memindahkan CAC Dewan Sukan Klang itu juga adalah bersandarkan makluman daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 23 Julai lalu di mana pesakit Covid-19 kategori 1 atau 2 diberikan pengecualian untuk hadir ke CAC.

Beliau turut mendapati bahawa lebih 80 peratus individu yang hadir ke CAC berkenaan adalah mereka yang tergolong di dalam kategori 1 dan 2.

Gelagat orang awam yang disyaki positif Covid-19 beratur panjang seawal pagi bagi melakukan penilaian kesihatan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Dewan Sukan MPK, Taman Sri Andalas, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 13 JULAI 2021.

“Sebab itu saya melihat dewan yang lebih kecil boleh digunakan dan berdasarkan maklumat yang kita terima itu, saya telah menulis surat kepada Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Selangor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bagi membantu proses perpindahan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengapa pemindahan CAC tersebut mengambil tempoh masa yang lama, Mohd Zawawi berkata, PKD Klang memerlukan satu ruang yang luas untuk CAC beroperasi.

“Perpindahan ini mengambil masa kerana ia melibatkan lokasi, PKD perlukan tempat yang agak besar contohnya di Dewan Sukan Klang ini dimana ia berkeluasan enam buah gelanggang jadi untuk mencari lokasi dengan keluasan sama itu tidak ada, ini satu-satunya.

“Tetapi selepas KKM mengumumkan bahawa pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 itu kuarantin kendiri di rumah, sebahagian besar daripada mereka tidak akan datang ke CAC dan dewan yang lebih kecil sesuai untuk dijadikan CAC,” ujarnya.

Kata Mohd Zawawi, kira-kira 20,000 penduduk dari tujuh kawasan perumahan di sini juga boleh menarik nafas lega selepas CAC berkenaan menamatkan operasi dan berpindah ke lokasi baharu.

Tambahnya, suasana persekitaran juga akan kembali seperti biasa selepas ini dan penduduk tidak lagi merasa khuatir akan keselamatan diri serta keluarga mereka.

Antara pekerja kilang yang disyaki positif Covid-19 hadir bagi melakukan penilaian kesihatan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Dewan Sukan MPK, Taman Sri Andalas, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 28 JULAI 2021.

Media sebelum ini melaporkan CAC Dewan Sukan Klang menerima pelbagai kritikan dan bantahan daripada penduduk setempat berikutan lokasi yang dianggap tidak bersesuaian dengan limpahan pesakit Covid-19 yang beratur panjang selain berlaku kesesakan lalu lintas. – MalaysiaGazette