Muhd Arshad (duduk, kiri) berbual dengan keluarga Azmi ketika ditemui di Terminal bas Komtar di sini.

GEORGE TOWN – Kurang satu jam berita mengenai kesempitan hidup keluarga Azmi disiarkan MalaysiaGazette, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pertubuhan Kebajikan Ihsan Muda Pulau Pinang serta Wanita PRIHATIN Pulau Pinang tampil menyampaikan bantuan awal buat keluarga tersebut.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Ihsan Muda Pulau Pinang, Muhd Arshad Abdul Rahman berkata, pihaknya menawarkan tawaran kerja sebagai tukang kebun buat Azmi yang  dijangka memulakan pekerjaan itu esok.

Muhd Arshad.

“Kita akan segerakan pencarian rumah buat mereka memandangkan keadaan mereka sekeluarga termasuk dua anak itu tidak selamat berteduh di terminal bas Komtar ini.

Muhd Arshad turut menawarkan pekerjaan serta-merta kepada Azmi.

“Buat permulaan ini kita akan tanggung bayaran sewa rumah selama dua bulan dan kita harap selepas tempoh itu di mampu menguruskan perbelanjaan rumah dengan pendapatan sebagai tukang kebun yang diperolehnya,” kata beliau  ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Presiden Wanita PRIHATIN Pulau Pinang, Sharifah Noorriati Syed Amirudin menyampaikan wang tunai sebagai bantuan awal buat keluarga tersebut.

Sharifah Noorriati (kanan) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga Azmi.

“Kita sudah dapatkan maklumat mereka dan akan berhubung dengan pihak zakat untuk tindakan lanjut.

“Mungkin zakat boleh tolong bayarkan sewa rumah mereka untuk jangka masa lebih panjang sementara mereka betul-betul stabil.

Sharifah Noorriati (kanan) mendapatkan maklumat berkaitan Azmi dan keluarganya untuk membuat permohonan zakat serta JKM.

“Kita juga akan berhubung dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memastikan dua anak yang berada bersama Azmi serta isterinya itu tidak tercicir dalam sekolah,” jelas Sharifah.

Artikel berkaitan: Terminal bas Komtar jadi ‘rumah’ empat sekeluarga

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak berusia lima serta 11 tahun menjadikan terminal bas di Komtar sebagai tempat berteduh sejak seminggu lalu.

Azmi Awang,39, berkata, mereka sekeluarga terpaksa hidup bergelandangan susulan tidak mampu bayar sewa rumah di Seberang Perai selepas dia hilang pekerjaan pada April tahun lalu akibat pandemik Covid-19.

Orang ramai yang ingin membantu Azmi boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 157401193151 miliknya serta menghubunginya di talian 017 415 6531. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast