Dewan Rakyat
Ong Kian Ming

KUALA LUMPUR – Semua ahli Parlimen sama ada pembangkang mahupun kerajaan perlu mengetepikan perbezaan fahaman politik masing-masing dengan perlu bekerjasama membantu kerajaan menangani penularan Covid-19.

Bagaimanapun, tindakan itu tidak bermakna wakil rakyat pembangkang tidak memainkan peranan untuk menjadi semak dan imbang terhadap apa yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan, kata Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming (PH).

Beliau yang membangkitkan perkara itu berkata, apa yang lebih penting sekarang ialah semua pihak mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah Covid-19 yang sudah lebih setahun melanda seluruh dunia dan Malaysia.

“Kalau nak kritik dan mencari salah kerajaan memang senang. Banyak perkara kita boleh kritik seperti air suam, Spanish Fly, pesta durian dan pergi Paris.

“Tetapi saya rasa orang di luar sana jauh lebih mantap dan pandai berbanding ahli Parlimen mengenai perbuatan tidak betul dilakukan oleh Menteri di sebelah sana dan pihak pembangkang juga.

“Jadi, saya merayu kepada semua YB supaya kita mempunyai satu rancangan dan hala tuju berbeza sebelum ini oleh kerana kepimpinan baik untuk menghadapi situasi luar biasa seperti krisis Covid-19 ini,” katanya ketika memberi pandangan mengenai penerangan berkenaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan PICK di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Kian Meng mengakui operasi PICK berjaya menaikkan lebih 500,000 kapasiti individu yang mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di Lembah Klang dan wajar diperluaskan ke negeri lain.

Beliau berharap semua agar ahli Parlimen dapat memainkan peranan membantu kerajaan menubuhkan lebih pusat pemberian vaksin (PPV) bagi mempercepatkan proses vaksinasi di seluruh negara.

“Walaupun ada dalam kalangan ahli Parlimen berasa dikhianati sebelum ini namun mereka patut melupakannya kerana Malaysia sekarang sedang menghadapi krisis pandemik Covid-19 yang tidak pernah negara alami sebelum ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.