FOTO HIASAN - Petugas kesihatan merawat pesakit Covid-19 ketika tinjauan eksklusif Malaysia Gazette di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 04 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Pakar kanser, Datuk Seri Dr. Fong Kok Onn yang diselamatkan ketika berdepan ambang kematian setelah terjangkit  penyakit COVID-19 berkongsi pengalamannya yang menakutkan.

Saat paling ngeri berlaku sebelum dan semasa pemasangan tiub ventilator apabila beliau diberitahu mungkin mati bila-bila masa, sementara jururawat merekodkan kata-kata terakhirnya.

Kok Onn yang menerima pelbagai pengiktirafan dalam dunia perubatan berkata, beliau didapati positif COVID-19 pada 8 Julai dengan tanda-tanda ringan iaitu batuk kecil dan sakit tekak, satu keadaan yang membolehkan beliau menjalani kuarantin rumah.

Pada 13 Julai, keadaannya menjadi tenat dengan mengalami denyutan jantung yang pantas selain kesukaran bernafas, sekali gus dihantar ke unit rawatan rapi (ICU) dan diberi oksigen.

Keadaannya menjadi lagi tenat pada malam iaitu pada tahap 4.5 dan doktor yang merawat mencadangkan Kok Onn dimasukkan tiub pernafasan.

“Penggunaan tiub bermaksud peluang saya diselamatkan adalah 20 hingga 30 peratus berbanding tanpa tiub sebanyak 50 hingga 70 peratus.

“Tetapi kalau tidak dipasangkan tiub, maka pesakit perlu melawan penyakit menggunakan keazaman diri dan penderitaan yang melampau ini bukan sesuatu yang semua orang boleh tahan.

“Disebabkan tidak boleh tahan dengan penderitaan tubuh, saya akhirnya bersetuju dipasangkan tiub walaupun tidak mahu sangat perkara ini berlaku,” katanya kepada China Press.

Menurutnya, semasa dipasangkan tiub, doktor berkali-kali mengingatkan supaya bersedia untuk berdepan kematian, sementara jururawat merekodkan kata-kata terakhir untuk ahli keluarganya.

“Doktor beritahu saya mungkin mati pada malam, jam seterusnya atau bila-bila masa.

“Selama lima hingga enam hari, saya takut sampai tidak berani lelapkan mata kerana bimbang tidak dapat buka semula mata buat selama-lamanya,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, Kok Onn bernasib baik kerana beliau akhirnya dikeluarkan dari ICU ke wad biasa pada 26 Julai.

Beliau kini perlu menjalani fisioterapi dan dijangka boleh keluar hospital pada akhir bulan.

Kata Kok Onn, peparunya mengalami kerosakan teruk dengan bahagian atas rosak antara 70 hingga 100 peratus dan bahagian bawah rosak 50 hingga 70 peratus dengan menunjukkan warna putih dan kelabu.

Katanya, kerosakan itu memerlukan masa dua hingga tiga tahun untuk mencapai pemulihan 50 peratus.

“Ramai pesakit COVID-19 mungkin berpendapat hanya perlu berehat di rumah apabila berasa lemah dan akan sembuh dengan sendirinya, tanpa sedar ramai pesakit telah meninggal dunia di rumah kerana berpendapat sedemikian,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Setuju, yang sepatut kerajaan sediakan adalah perbanyakkan PKRC supaya dapat mengurangkan jumlah kematian di rumah. Di harap kerajaan negeri menyediakan 1 Daerah 1 PKRC. Ramai bekas-bekas pesakit Covid sedia untuk menjadi sukarelawan frontlinear untuk PKRC, Hanya yang mengalami sahaja yang tahu bertapa sukarnya menghadapai covid 19 ini.

Comments are closed.