Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Pasir Gudang merayu orang ramai menyumbangkan bekalan makanan kering serta keperluan termasuk pelitup muka kepada pesakit yang menerima rawatan.- Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Pasir Gudang merayu orang ramai menyumbangkan bekalan makanan kering serta keperluan termasuk pelitup muka kepada pesakit yang menerima rawatan.

Bilik Gerakan PKRC berkenaan dalam satu kenyataan memaklumkan, pelbagai bentuk sumbangan adalah dialu-alukan terutama makanan kering.

Setakat hari ini, seramai 952 pesakit lelaki, wanita dan kanak-kanak dirawat di situ.

PKRC Pasir Gudang yang bertempat di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) sudah menerima seramai 12,579 pesakit dalam kategori satu dan dua sejak diaktifkan 10 Februari lalu.

Menurut kenyataan yang sama, orang ramai, pertubuhan atau syarikat korporat dialu-alukan bagi menyumbang pelbagai bentuk sumbangan terutama makanan kering, pelitup muka dan barangan berkaitan.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut, pihak berminat menyumbang boleh menghubungi Bilik Gerakan PKRC Pasir Gudang di talian 07-2567279 atau 07-2560149 untuk keterangan lanjut.

Johor mempunyai tiga PKRC iaitu PKRC Pasir Gudang dan PKRC Olive B Hospital Permai serta sebuah PKRC kendalian swasta iaitu DB Kompleks Iskandar Puteri. – MalaysiaGazette