Kurniawan Dwi Yulianto.

KUALA LUMPUR – Pengendali Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto mahu anak buah tidak lagi melakukan kesilapan mudah terutama pada minit-minit akhir apabila menentang Sri Pahang FC seperti yang berlaku ketika tewas kepada PJ City tempoh hari.

Jelasnya, kekalahan tersebut telah meletakkan mereka di tangga kelapan liga dan untuk itu, pasukan tidak boleh lagi tewas agar dapat meletakkan jurang yang lebih besar dengan lawan lain di kelompok bawah liga.

“Yang pasti adalah fokus untuk 90 minit kerana saya selalu ingatkan bahawa baik 15 minit awal dan 15 terakhir adalah cukup penting untuk pemain.

“Ia terbukti apabila kita tewas dengan gol mudah pada minit terakhir dan saya mahu selepas ini, pemain sentiasa menganggap setiap perlawanan itu adalah aksi final.

“Sekarang kedudukan semakin merbahaya, jurang mata juga tidak jauh, jadi kita tidak boleh biarkan kesilapan muda memberi kesan negatif kepada pasukan”, katanya.

Dua lagi perlawanan turut berlangsung pada malam ini menyaksikan Selangor FC akan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) manakala Melaka United FC akan menerima kunjungan Terengganu FC.

Satu perlawanan sahaja akan berlangsung pada malam ini iaitu antara Perak FC dan Kuala Lumpur City FC.

Aksi antara PJ City FC dan Kedah Darul Aman FC pula ditangguhkan susulan pasukan Kedah yang masih lagi dalam tempoh kuarantin ekoran dua pemainnya positif Covid-19. – MalaysiaGazette