Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyampaikan titah diraja bagi pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Raja menzahirkan rasa amat dukacita berhubung pembatalan Ordinan Darurat kerana belum mendapat perkenan baginda.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menegaskan, baginda turut menzahirkan perasan sama kerana apa yang telah diperkenan dan dititah kepada
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan yang berhormat menteri di Parlimen pada 26 Julai 2021 adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai 2021 yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah, telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Bagaimanapun, baginda menzahirkan pandangan bahawa selaku ketua utama negara, baginda mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Tegasnya, baginda mahu ahli-ahli Parlimen memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah yang dihadapi rakyat dan negara ketika krisis pandemik Covid-19 ini. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.