Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO hari ini mendesak Tan Sri Muhyiddin Yasin segera meletak jawatan sebagai Perdana Menteri susulan penzahiran dukacita oleh Yang di-Pertuan Agong terhadap pembatalan Ordinan Darurat.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa, Muhyiddin secara jelas telah melanggar sumpah jawatan untuk sentiasa taat kepada Agong dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

“Pemuda UMNO juga mendesak supaya Ahli-Ahli Parlimen UMNO menzahirkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 7 Julai 2021 yang lalu untuk menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.

“Sebagai sebuah parti yang menjadi benteng utama membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana Fasal 3 Perlembagaan UMNO, UMNO tidak boleh berkompromi dengan sikap biadap kerajaan yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Asyraf Wajdi, Pemuda UMNO Malaysia memandang serius titah Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan rasa amat dukacita mengenai kekeliruan yang disengajakan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara.

Katanya, ternyata pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat sebagai mana yang diumumkan Menteri Undang-Undang pada Isnin lepas di Parlimen amat mengelirukan kerana hakikatnya belum lagi mendapat perkenan baginda.

Malah katanya, kenyataan media Istana Negara juga mendedahkan bahawa kerajaan dengan sengaja ingkar dan melanggar titah Agong yang jelas mahu cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan (pengundian) sejajar dengan maksud Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Bagi Pemuda UMNO, tindakan kerajaan ini jelas merupakan satu bentuk penderhakaan kerana membelakangi titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast