KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan kes baharu Covid-19 harian tertinggi dengan 17,170 kes setakat jam 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata , daripada jumlah itu, Selangor masih menjadi negeri yang mencatatkan kes baharu paling tinggi di negara ini melibatkan 7,163 kes, diikuti Kuala Lumpur dengan 2,138 kes, Kedah (1,212) dan Johor (1,054).

“Daripada jumlah itu juga, Negeri Sembilan menunjukkan tren peningkatan kepada 884 kes, diikuti Sabah (776), Pahang (638), Kelantan (615), Perak (596), Sarawak (582), Pulau Pinang (554), Terengganu (437) dan Melaka (416)

“Bagaimanapun hanya tiga negeri merekodkan kes baharu Covid-19 di bawah 100 kes iaitu Putrajaya (84), Labuan (11) dan Perlis (10),” katanya dalam catatan Twitter miliknya, hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada 17,170 kes harian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 383 kes atau 2.3 peratus adalah daripada kategori 3, 4 dan 5, manakala 16,787 kes (97.7 peratus) lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa Covid-19. Ada di antara kes kekal dalam kategori sama sepanjang tempoh jangkitan.

“Namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya.

Selain itu katanya, KKM juga mendapati lebih 70 peratus individu yang dijangkiti Covid-19 tidak mempunyai sejarah vaksinasi, berbanding mereka yang telah mendapat suntikan vaksin menunjukkan jangkitan wabak itu kurang 30 peratus dan berbeza mengikut kategori.

“Bagi kategori 1 tidak bergejala, sebanyak 7.6 peratus atau 649 individu mempunyai sejarah vaksinasi, berbanding 92.4 peratus atau 7,839 kes tiada sejarah vaksinasi.

“Kategori 2 bergejala ringan pula, sebanyak 24.4 peratus atau 2,026 individu mempunyai sejarah vaksinasi berbanding 75.6 peratus atau 6,273 kes tiada sejarah vaksinasi.

“Untuk kategori 3, radang paru-paru (memerlukan rawatan dan pemerhatian di hospital), sebanyak 27.8 peratus atau 55 kes mempunyai sejarah vaksinasi, manakala 72.2 peratus atau 143 kes pula tiada sejarah vaksinasi,” katanya.

Katanya lagi, meskipun masih ada individu dalam kategori 4 dan 5, namun jumlahnya agak kecil berbanding kategori 1, 2 dan 3, iaitu di bawah 20 peratus melibatkan individu yang pernah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

“Dalam kategori 4, radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen, purata jagaan di ICU selama 14, hanya 14.5 peratus atau 20 kes mempunyai sejarah vaksinasi dan 85.5 peratus atau 118 kes pula tiada sejarah vaksinasi.

“Bagi kategori 5 pula, iaitu kritikal dan perlu bantuan pernafasan, purata jagaan di ICU selama 21 hari, hanya 6.4 peratus atau 3 kes mempunyai sejarah vaksinasi, manakala 93.9 peratus atau 44 kes pula tiada sejarah vaksinasi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette