KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu melakukan transformasi agar terus kekal relevan dan berdaya saing dalam memperkasa sektor pendidikan serta memenuhi keperluan dan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, bagi tujuan itu, Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 dilancarkan selari dengan dasar dan aspirasi kerajaan bagi merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
“Ia mengambil kira Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) yang turut memberi tumpuan kepada pengukuhan ekosistem pengajian tinggi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“PTPTN komited sepenuhnya agar dokumen ini menjadi rujukan penting dalam meningkatkan impak perkhidmatan jangka panjang kepada masyarakat.
“Ia juga boleh mewujudkan persekitaran kerja yang mantap dan berkesan sekaligus memenuhi ekspektasi semua pihak,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 secara langsung di Facebook rasmi PTPTN, hari ini.
Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 merupakan dokumen yang menggariskan perancangan dan hala tuju PTPTN dalam tempoh lima tahun, mulai 2021 hingga 2025 selari dengan dasar dan aspirasi Kerajaan.
Ia sangat penting sebagai garis panduan bagi mencapai visi dan misi PTPTN untuk menjadi Peneraju Tabung Pendidikan Tinggi Negara yang menguruskan dana simpanan dan pinjaman secara efektif berlandaskan tadbir urus yang cemerlang, berintegriti dan strategik.
Sebanyak lima teras strategik yang dikenalpasti bagi merealisasikan visi dan misi PTPTN sebagai organisasi yang menguruskan dana untuk pendidikan tinggi yang strategik dan inovatif menjelang tahun 2025.
Antaranya menjadikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebagai produk simpanan pendidikan utama di Malaysia, memperkasakan pengurusan pinjaman pendidikan utama dan unggul, menambah baik pengurusan kutipan bayaran balik pinjaman dengan lebih efektif, melaksanakan strategi pendanaan dan pelaburan mendatangkan pulangan optimum serta memperkasakan organisasi lebih dinamik dan cemerlang.
Menurut Wan Saiful, pelan strategik ini turut menumpukan kepada usaha memperkasa organisasi ke arah lebih dinamik dan cemerlang melalui pengubahsuaian imej, budaya dan proses kerja dengan pelaksanaan penjenamaan dan pendigitalan PTPTN.
“Ke arah memastikan kelestarian organisasi agar terus berdaya saing, PTPTN komited untuk melaksanakan penjenamaan bagi membina kepercayaan kukuh dan mempunyai identiti korporat disegani.
“Setelah 24 tahun kewujudannya, telah tiba masanya masyarakat perlu menyedari fungsi dan sumbangan utama PTPTN kepada pembangunan ekonomi dan pendidikan negara.
“Dengan komunikasi yang berkesan, persepsi negatif segelintir masyarakat tentang PTPTN akan dapat ditangani,” katanya.
Beliau juga berharap PTPTN bukan sekadar tabung pendidikan yang menyedia dan mengutip pinjaman, bahkan memberi peluang kejayaan dan impian kepada anak-anak untuk berjaya dalam kehidupan.
“Ke arah merealisasikan usaha ini, PTPTN kini sedang melaksanakan penjenamaan yang menyeluruh secara berperingkat.
“Ini termasuklah memperkenalkan visi dan misi baharu PTPTN selari hasrat PTPTN menjadi peneraju tabung pendidikan tinggi negara yang terunggul.
“PTPTN juga melaksanakan penjenamaan dalaman untuk melahirkan kakitangan yang berdedikasi dan bermotivasi dalam memberikan perkhidmatan serta sentiasa berbangga dengan jenama kita sendiri,” katanya.
Selain itu, bagi memastikan pengurusan data secara lebih sistematik, PTPTN akan memperkasakan Pengurusan Maklumat PTPTN melalui Rangka Kerja Artificial Intelligence (AI) dalam menganalisa data serta meningkatkan keupayaan aplikasi dan perkakasan ICT dengan penggunaan teknologi terkini.
“Sesungguhnya, saya sangat optimis dengan Pelan Strategik yang telah dirangka ini akan membawa PTPTN ke satu fasa baharu ‘New PTPTN’ yang akan sentiasa dekat di hati masyarakat.
“Oleh itu, sekalung tahniah dan penghargaan tidak terhingga saya ucapkan kepada semua pihak yang telah menyumbang idea, masa dan tenaga dalam menghasilkan dokumen yang sangat penting ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, sebagai pembiaya utama pinjaman pendidikan tinggi negara juga, PTPTN akan bertindak selari dengan hasrat kerajaan dalam menghasilkan graduan yang berkualiti.
“Saya yakin melalui strategi-strategi yang akan dilaksanakan dan kerjasama pelbagai pihak, PTPTN akan lebih cemerlang dan terserlah sebagai institusi penabungan dan pengurusan utama dana bagi tujuan pendidikan tinggi menjelang tahun 2025,” katanya.
Sejak ditubuhkan pada 1997 sehingga 31 Mei 2021, PTPTN telah membantu seramai 3.51 juta pelajar dengan jumlah pinjaman yang telah dikeluarkan sebanyak RM63.82 bilion.
Selain pinjaman, PTPTN telah mencatatkan penerimaan deposit yang sangat memberangsangkan iaitu berjumlah RM8.99 bilion dengan 4.98 juta akaun direkodkan menerusi skim SSPN. – MalaysiaGazette
















