Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Portal Pelan Pemulihan Negara (PPN) telahpun dilancarkan pada hari Isnin lalu, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Oleh itu seluruh rakyat Malaysia kini boleh melayari laman sesawang https://pelanpemulihannegara.gov.my/ yang akan memaparkan indikator-indikator terkini serta maklumat berkaitan PPN, manfaat pakej-pakej bantuan dan juga pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) terkini.

PPN merupakan strategi peralihan keluar dari krisis Covid-19 secara berfasa, teratur dan selamat.

Beliau yang juga Menteri Penyelaras PPN berkata, pelan ini mengambil pendekatan seluruh negara yang bersifat dinamik serta disokong oleh fakta-fakta sains dan penilaian indikator.

”Sebagai sebuah pelan yang berpandangan ke hadapan dan anjal, ia bertujuan untuk memastikan keseimbangan dalam usaha kita menyelamat nyawa, memastikan kelangsungan hidup rakyat dan memelihara kesejahteraan ekonomi.

”Seterusnya, kesinambungan PPN akan diadun dan disusuli dengan usaha pemulihan dan pemerkasaan melalui Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12, yang bakal dibentangkan di hadapan semua Ahli Dewan serta seluruh rakyat Malaysia dalam masa beberapa bulan akan datang,” katanya ketika semasa sesi pembentangan Menteri Kewangan, Sidang Khas Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.- MalaysiaGazette