Anggota bomba bantu memindahkan pesakit obesiti dari Hospital Pulau Pinang ke Hospital Kuala Kangsar, Perak hari ini,

GEORGE TOWN – Sepasukan anggota bomba terpaksa dipanggil bagi membantu mengangkat seorang lelaki yang mengalami masalah obesiti dengan berat badan 250 kilogram (kg) untuk dipindahkan dari Hospital Pulau Pinang (HPP) ke Hospital Kuala Kangsar, Perak, hari ini.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Jamil Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan bantuan mengangkat pesakit, Jas Rizal Alias, berusia 38 tahun itu kira-kira jam 2.52 petang.

Jamil.

Katanya, sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal dikerahkan ke hospital berkenaan untuk membantu.

“Anggota bomba melakukan kerja-kerja mengangkat pesakit seberat 250 kilogram itu dengan bantuan petugas hospital sebelum dibawa masuk ke lori Isuzu tiga tan milik bomba.

Jas Rizal yang memiliki berat badan kira-kira 250 kg dipindahkan dengan bantuan pihak bomba.

“Kita mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengangkat pesakit itu untuk pindahkan ke Hospital Kuala Kangsar,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di lokasi hari ini.

Tambah beliau, beberapa anggota bomba serta petugas hospital turut mengiring mangsa bagi melakukan pemantauan dalam perjalanan yang mengambil masa lebih dua jam.

Sementara itu, isteri mangsa, Noraini Mohd Rizal,35, berkata, dia dan anaknya menetap di Kuala Kangsar bersama keluarga mertua sekali gus menjadi kekangan buat dirinya untuk menjaga suaminya yang menerima rawatan di HPP.

Noraini.

“Sudah seminggu suami saya mendapatkan rawatan di HPP selepas dia dilaporkan terjatuh di tempat kerjanya di Bukit Minyak, Bukit Mertajam akibat menghidap strok.

“Bagi memudahkan urusan penjagaan termasuk menguruskan anak-anak yang berusia setahun dan dua, saya terpaksa meminta bantuan pihak hospital untuk memindahkannya.

Pihak bomba mengikat katil mangsa menggunakan tali bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlaku ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kangsar, Perak.

“Atas faktor berat badan pihak hospital terpaksa meminta bantuan bomba untuk melakukan proses pemindahan ini,” jelas Noraini.

Tambahnya, dia merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak bomba atas bantuan memindahkan suaminya itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast