KUALA LUMPUR – FSMOne hari ini melancarkan produk perkhidmatan terbaharu kepada pasaran dagangan saham Malaysia, dengan memberi peluang kepada para pelabur untuk melabur sekuriti Amerika Syarikat dan Hong Kong dengan lebih mudah melalui platform pelbagai assetnya yang strategik.

Syarikat ini mengenakan yuran pembrokeran yang terendah di pasaran kepada pelabur runcit pada kadar 0.08% bagi memberi laluan untuk segmen runcit terus berkembang dan berdaya saing dengan institusi-institusi mapan yang lain dalam pasaran.

Wong Weiyi, Pengurus Besar FSMOne Malaysia berkata, perkhidmatan pelanggan yang terbaik merupakan keutamaan syarikat tersebut.

Platform ini dibina untuk memudahkan serta mempercepatkan pembukaan akaun untuk rakyat Malaysia.

”Yuran pembrokeran kami ditetapkan pada kadar 0.08% atau caj minima sebanyak AS$8.80 (RM37) untuk aktiviti dagangan sekuriti Amerika Syarikat dan HKD50 (RM27) untuk aktiviti dagangan sekuriti Hong Kong – merupakan kadar terendah dalam pasaran saham Malaysia.

Platform ini dibangunkan dengan elemen interaksi yang lebih baik dan penggunaan yang lebih mudah.

iFAST Capital, syarikat utama yang merupakan tulang belakang FSMOne yang mempunyai visi untuk memberikan khidmat kepada pelabur runcit di wilayah Asia Tenggara, telah diberikan lesen oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia.

Para pelabur tidak perlu berasa bimbang dengan pelaburan mereka di FSMOne.

“Dengan memanjangkan waktu perkhidmatan sokongan, kami memberi jaminan kepada pelabur runcit akan bantuan yang mereka boleh dapati apabila pasaran dibuka pada waktu pembukaan.

”Perkhidmatan FSMOne adalah berpatutan, telus dan mengamalkan struktur yuran yang jelas, bermaksud tanpa deposit minima atau caj,” tambah Wong.

Pembukaan akaun konvensional memerlukan penyediaan dokumen fizikal yang banyak dan boleh mengambil masa sehingga seminggu untuk diproses, sebelum diluluskan untuk beroperasi.

Walau bagaimanapun, FSMOne membolehkan pendaftaran akaun dilakukan secara dalam talian dan kelulusan akaun boleh diperoleh dalam tempoh beberapa jam.

Pembiayaan akaun boleh dilaksanakan dalam matawang Ringgit Malaysia (MYR) melalui FPX dan ditukarkan kepada kadar forex yang kompetitif dalam matawang AS$ atau HKD.

”Proses perkhidmatan kami memudahkan pembukaan akaun dan pertukaran mata wang untuk pembiayaan akaun. Pelabur baharu boleh mula melabur menerusi akaun mereka dalam tempoh kurang satu hari bekerja.

”FSMOne merupakan platform pelaburan digital pelbagai aset, juga menawarkan laporan penyelidikan merangkumi ETF yang merupakan keistimewaan kami yang unik buat masa ini,” katanya.

Wong menambah, pandemik Covid-19 telah mengubah rakyat Malaysia untuk mencari alternatif lain bagi menambah pendapatan. Pendaftaran akaun CDS (Central Depositary System) telah menyaksikan lonjakan sebanyak 125% pada tahun 2020, yang mana ini menuntut pihak industri untuk beralih kepada penggunaan digital sepenuhnya.

FSMOne juga menyediakan perkhidmatan sokongan kepada para pelabur dengan menyiarkan artikel-artikel penyelidikan dan mengadakan sesi webinar untuk
memberi maklumat terkini tentang trend pasaran semasa untuk membantu para pelabur membuat keputusan pelaburan yang lebih tepat. – MalaysiaGazette