Botol kaca yang telah dilekatkan kod QR KITARecycle

KUALA LUMPUR – Penduduk di negeri Melaka kini boleh mula mengumpul botol kaca terpakai untuk dikitar semula dan seterusnya menikmati mata ganjaran melalui program
KITARecycle yang diperkenalkan oleh SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment).

Barangan berasaskan botol kaca seperti botol kicap, botol sos dan botol minuman kini telah diterima bersama 24 barangan kitar semula lain untuk dikitar semula bagi program KITARecycle.

Dengan meningkatnya aktiviti kitar semula, penduduk negeri Melaka bukan sahaja dapat menyumbang kepada pengurangan janaan sisa pepejal dihantar ke tapak pelupusan, malah
berpeluang memperoleh pulangan dalam bentuk mata ganjaran KITARecycle yang kemudiannya boleh ditebus kepada wang ringgit.

Ahli KITARecycle hanya perlu mengikuti beberapa langkah mudah sebelum mengumpulkan botol kaca untuk dikitar semula. Pastikan botol kaca tersebut masih dalam keadaan sempurna dan
tidak pecah.

Botol kaca perlu dibersihkan daripada sebarang kekotoran dan penutup botol perlu diasingkan.

Kemudian, letakkan botol kaca yang telah ditampal kod QR KITARecycle di dalam bekas yang sesuai sebelum dimasukkan ke dalam sangkar kitar semula KITARecycle kategori ‘Lain-lain’ di lokasi yang telah ditetapkan.

Selain dari sangkar KITARecycle, botol kaca yang telah ditampal kod QR KITARecycle juga boleh diletakkan di tepi tong sampah beroda di kediaman masing-masing pada hari kutipan +1 seminggu sekali mengikut jadual kutipan bagi barangan kitar semula, sisa kebun dan sisa pukal.

Pasukan 3R Troopers SWM Environment yang melaksanakan kutipan barangan kitar semula di semua sangkar KITARecycle beroperasi seperti biasa di sepanjang tempoh Pelan Pemulihan
Negara (PPN), Fasa 1.

Sila hubungi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 untuk mengetahui  lokasi sangkar KITARecycle berhampiran.
SWM Environment menyeru penduduk negeri Melaka untuk mendaftar sebagai ahli KITARecycle secara percuma melalui laman web www.KITARecycle.com atau memuat turun aplikasi
KITARecycle di Apple Apps Store dan Google Play Store. – MalaysiaGazette