Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 31 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan memohon maaf di Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat Isnin ini.

Presidennya, Jufitri Joha berkata, beliau kesal dengan sikap pemimpin Pas itu yang mengumumkan pembatalan  Ordinan Darurat yang pernah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Parlimen Isnin lalu tanpa dibahas dan diperkenankan oleh baginda terlebih dahulu.

Katanya, lebih mendukacitakan apabila tindakan Takiyuddin itu jelas membelakangi fungsi dan kuasa baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh demikian MBM mahu mencadangkan supaya pembatalan semua Ordinan Darurat itu dibentang dan dibahaskan di dalam Parlimen sebagaimana yang dipersetujui dan dititahkan oleh Seri Paduka Baginda, di mana kuasa penggubalan, pembatalan dan perkenan Ordinan-Ordinan Darurat terletak kepada kuasa baginda.

“Keduanya,Takiyuddin perlu membuat permohonan maaf di dalam Dewan kerana telah telah melanggar Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 36/12 (kenyataan mengelirukan Dewan) sebagaimana yang telah dizahirkan oleh baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara pada hari ini.

“Selain itu, kami mahu mengingatkan ahli-ahli Parlimen agar memandang serius penegasan yang dibuat baginda agar memberikan tumpuan dan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat dan negara bagi mencari jalan keluar tuntas dalam sesi sidang Parlimen kali ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jufitri juga mencadangkan agar Parlimen membentang dan membahaskan persidangan secara gabungan atau hybrid antara fizikal dan maya bagi membolehkan ahli Parlimen bersidang secara hybrid pada masa hadapan.

Menurutnya, langkah itu sekaligus membolehkan para wakil rakyat terus bersidang dan berbahas isu-isu rakyat secara selamat dan berterusan tanpa sebarang halangan.

“Pihak kerajaan, pembangkang, pemimpin negara, belia dan rakyat juga diharap agar terus menjunjung prinsip Rukun Negara sebagai asas kestabilan, perpaduan dan kemakmuran negara.

“Pemimpin negara wajar menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada generasi muda dalam merakyatkan Rukun Negara.

“MBM sebagai gerakan belia yang secara kolektifnya non-partisan akan terus konsisten mendokong dan menjunjung peranan yang amat penting Yang di-Pertuan Agong dan fungsi institusi diraja sebagai kuasa semak dan imbang serta pancuran keadilan rakyat dalam sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast