Muhyiddin Yassin Perikatan Nasional Prime Minister Motion of Confidence Dewan Rakyat Parliament September
Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Pelbagai desas-desus mengenai masa hadapan Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan akan jatuh selepas titah Seri Paduka Yang Dipertuan Agong semalam.

Rata-rata memberikan pandangan bahawa PN di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak membahaskan usul Ordinan Darurat di Parlimen sebagai ‘derhaka’ tidak lagi mempunyai sokongan majoriti.

Menurut sumber dalaman PN, perkara bubar Parlimen atau tukar kerajaan tidak akan berlaku dalam masa terdekat memandangkan kerajaan hari ini sudah mempunyai cukup sokongan termasuk daripada beberapa ahli Parlimen pembangkang.

“Jangan risau, PN masih stabil dan akan meneruskan pentadbiran seperti biasa.

“Apa yang berlaku semalam adalah perkara biasa dan PN telah membuat perkara betul, cuma pembangkang buat kerja mereka sebagai orang yang tidak bersetuju walaupun ia perkara betul,” menurut sumber kepada MalaysiaGazette.

Jelas sumber itu lagi, dengan kewibaan PN hari ini telah meyakinan ahli Parlimen pembangkang untuk bersama-sama kerajaan.

“Siapa mereka, biarlah rahsia… tapi yang pasti tidak ada apa yang berlaku dalam masa terdekat.

“Keyakinan terhadap PN juga semakin bertambah apabila memperoleh sokongan tambahan daripada ahli Parlimen pembangkang.

“PN semakin solid. Itu yang boleh saya katakan. Walaupun ada yang mohon pindah tempat duduk di Parlimen, tetapi sokongan terkini, saya jamin… sangat meyakinkan.

“Pindah tempat itu tidak langsung melemahkan PN malah kita dapat lebih daripada sokongan sedia ada,” jelasnya lagi.

Menurut sumber dalaman itu lagi, ketika ini PN hanya akan mengambil sikap berdiam diri dan akan menunggu sahaja apa yang akan berlaku pada hari Isnin hadapan ketika penerangan Ordinan Darurat di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Dewan Rakyat kecoh apabila isu pembatalan Ordinan Darurat yang tidak dibahaskan turut mendapat respons daripada Yang di-Pertuan Agong.

Menerusi kenyataan media Istana Negara semalam, keputusan PN tidak membahaskan perkara tersebut telah mengelirukan ahli-ahli Dewan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula tampil menyatakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri telah diterima Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, namun tidak dapat dibahaskan pada hari sama berikutan sesi perbahasan terpaksa ditangguhkan beberapa kali selepas kenyataan Istana Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan memberi penerangan mengenai Ordinan Darurat pada isnin ini.

Apakah usul Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibahaskan pada hari berkenaan atau akan ada pertambahan hari untuk sidang khas Parlimen ini? – MlaaysiaGazette