Suspek (kiri) serta rokok seludup bernilai RM230,070 yang dirampas Polis Marin semalam.

SUNGAI PETANI – Seorang remaja bawah umur ditahan bersama rokok seludup bernilai RM230,070 di sebuah premis di Kampung Pekan Baru, Pinang Tunggal di sini, semalam.

Serbuan Unit Risik Polis Marin Batu Uban Pulau Pinang kira-kira jam 3 petang itu membawa kepada penemuan 1,442 karton rokok seludup dipercayai untuk pasaran sekitar kawasan tersebut.

MalaysiaGazette difahamkan, suspek lelaki berusia 17 tahun yang ditahan itu merupakan pembantu kedai berkenaan.

Pemangku Komander Polis Marin Wilayah 1, Superintendan Shoppri Saad berkata, bertindak atas maklumat dan risikan pihaknya menemui hampir 30 peti rokok disyaki tidak dibayar cukai dalam premis tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 288,400 batang pelbagai jenama rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM230,070 ditemui.

“Ketika serbuan hanya seorang lelaki bawah umur berada dalam premis dan dia ditahan bagi membantu siasatan.

“Suspek serta barang kes diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes akan disiasat dibawah Sek 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan Pasukan Polis Marin Wilayah 1 telah merampas lebih lima juta batang rokok seludup menerusi Ops Kontraband sejak 1 April lalu.

“Kawasan operasi mengekang aktiviti penyeludupan dan penjualan rokok seludup yang kita jalankan ini bermula negeri Perlis hingga ke Selangor.

“Operasi sebegini akan terus dipergiatkan agar kegiatan yang merugikan kerajaan dapat dibanteras,” tegas Shoppri. – MalaysiaGazette