Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan  anggota Kabinet patut meletakkan jawatan dan menyerahkan kuasa pentadbiran negara kepada Yang di-Pertuan Agong, kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Menurut beliau, masa depan negara  harus diserahkan kepada Agong kerana kerajaan pada hari ini tidak stabil.

Kata beliau, dengan pengunduran kerajaan Perikatan Nasional (PN), strategi baharu untuk menyelamatkan ekonomi dan usaha menangani Covid-19 dapat dilaksanakan.

“Serah balik kuasa ini kepada Agong, biar Agong menentukan masa depan negara dengan kita. Dengan kita buang halangan ini keadaan ekonomi bertambah baik dan mungkin strategi baru boleh digunakan untuk kita akhiri ancaman Covid-19 yang mengancam keselamatan rakyat.

“Berapa ribu lagi nak tunggu rakyat mati dan bunuh diri dan sebagainya sebelum satu tindakan efektif boleh dilakukan,” katanya menerusi sidang media yang diadakan secara Live Facebook malam ini.

Beliau terdahulu menyifatkan pembatalan Ordinan Darurat sebagai pembohongan yang tidak boleh dimaafkan, apatah lagi selepas Agong menzahirkan perasaan dukacitanya terhadap perkara tersebut.

Untuk rekod, semalam Tuanku Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Raja menzahirkan rasa amat dukacita berhubung pembatalan Ordinan Darurat kerana belum mendapat perkenan baginda.

Baginda turut menzahirkan perasan sama kerana apa yang telah diperkenan dan dititah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan.

Mengulas lanjut,  Ku Li yang juga merupakan veteran UMNO berpendirian pembatalan Ordinan Darurat yang dilakukan tanpa pengetahuan Ahli Dewan Rakyat boleh diadukan kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen.

Katanya, jawatankuasa tersebut boleh mempertimbangkan tindakan diambil selaras dengan undang-undang kerana keputusan itu dibuat dengan membelakangkan Ahli Dewan Rakyat.

“Saya rasa perbuatan ini satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh diadu kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen kerana perbuataan melanggar keistimewaan Ahli Parlimen yang sepatutnya dilapor kepada kita, sepatutnya dikemukakan kepada kita untuk kita sama-sama menimbangkannya.

“Jawatankuasa Keistimewaan berhak menentukan sekiranya ada perkara-perkara yang dilakukan dengan cara tidak teratur, maka tindakan dapat diambil supaya rakyat dapat tahu apa sebenarnya nak dilakukan pihak pemerintah di bawah undang-undang Darurat,” tambah beliau.-  MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Agong pun pening kepala tidak tahu hendak lantik siapa jadi PM, calon-calon yang ada semua tiaa kelayakan majoriti. Tun M hendak buat mageran pun korang tak setuju. Tak akan pula agong hendak fikir hal pentadbiran walhal itu adalah kerjanya yang dulu sebelum dijajah oleh Ingeris.

Comments are closed.