Anbalagan menunjukkan kenderaan mewah yang dirampas dari sindiket Geng William yang aktif merisik dan mencuri kenderaan mewah yang diparkir lama di kondominium menggunakan kunci pendua yang akhirnya berjaya ditumpaskan polis Serdang 26 Julai lalu.

SERDANG – Satu sindiket curi kenderaan mewah, dikenali Geng William, lumpuh dengan tertangkap enam lelaki dalam dua serbuan berasingan pada Ahad dan Isnin lalu.

Turut ditahan seorang pengawal keselamatan di kondominium tersebut yang disyaki menjadi penyalur maklumat kepada sindiket itu.

Sindiket tersebut menghasilkan kunci pendua dengan menggunakan mesin programmer untuk kenderaan yang menjadi sasar untuk dicuri.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A Anbalagan berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan tiga lelaki di Jalan Jinjang Utara, Kuala Lumpur bersama dua kenderaan mewah iaitu Mercedes S320 dan Toyota Estima yang dilaporkan hilang jam 2 petang Ahad lalu.

Tambah beliau, hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki termasuk seorang warga Nepal pada Isinin lalu.

“Dalam serbuan itu, kami berjaya merampas beberapa telefon bimbit, satu mesin programmer bagi membuat kunci pendua kenderaan dan enam kenderaan mewah iaitu Toyota Camry, Peugeout, Volkswagen Jetta, Audi Q7, Toyota Fortuner serta Perodua Myvi,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurut Anbalagan, hasil pemeriksaan polis mendapati dua daripada enam kenderaan berkenaan pernah dilaporkan hilang di Seri Kembangan.

Katanya, kesemua suspek yang ditahan berusia lingkungan 38 hingga 43 tahun dan keseluruhan barang rampasan dianggarkan bernilai RM500,000.

Menurut Anbalagan, modus operandi Geng William yang aktif sejak Jun lalu adalah dengan membuat rondaan di kawasan kondominium di sekitar Serdang untuk mengenalpasti kenderaan yang mahu dicuri.

“Seorang pengawal keselamatan yang juga suspek ditahan kerana dipercayai menjadi pemberi maklumat kepada sindiket berkenaan untuk mengenal pasti kenderaan mewah yang sudah lama diletakkan di kawasan tempat kereta di kondominium tersebut.

“Sindiket ini dipercayai mengambil masa tiga hari untuk melakukan risikan, membuat kunci pendua sebelum turun mencuri kenderaan yang menjadi sasaran mereka untuk dijual pada harga rendah di pasaran di luar.

“Ada juga kenderaan mewah seperti kereta Mercedes yang dicuri sindiket berkenaan telah dijual pada harga serendah RM10,000,” ujarnya.

Menurut Anabalan, semakan lanjut polis mendapati dua daripada enam suspek memiliki rekod kesalahan berkaitan kes jenayah.

Tambahnya, dengan tertangkapnya semua suspek, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes curi kenderaan mewah.

Jelasnya, kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast