Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 29 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menasihatkan semua ahli Parlimen UMNO menjarakkan diri daripada terheret ke dalam krisis antara kerajaan dengan Istana.

Beliau berkata, ahli-ahli Parlimen UMNO tidak boleh berada dalam kedudukan dan pendirian yang boleh ditafsirkan sebagai menyanggah teguran Istana yang merupakan sebuah institusi di mana UMNO telah berikrar akan taat dan pertahankan.

“Justeru, saya menyeru kebijaksaan dan hikmah semua Ahli Parlimen UMNO untuk melakukan perkara yang benar dan selari dengan pendirian parti.

“Tiada apa jua alasan dapat digunakan untuk mempertahankan Kerajaan yang telah dilihat nyata ingkar, culas dan gagal dalam melaksanakan titah dan nasihat DYMM SPB Yang Di Pertuan Agong dalam melaksanakan tanggungjawab memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Negara,” katanya.

Mohamad Hasan

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkata, kesetiaan kepada Kerajaan Perikatan Nasional, tidak boleh mengatasi kesetiaan kepada raja, negara dan parti.

Katanya, pilihan wakil rakyat UMNO adalah jelas kecuali mereka memilih sebaliknya, pada saat negara dan rakyat telah hilang segala keyakinan kepada Kerajaan PN.

“Saya selalu berpesan agar kita selalu bermuhasabah dan sentiasa sedar dan arif tentang asal-usul kita. Jangan hingga jadi seperti kata pepatah, “Diberi berkuku, hendak mencengkam”,” katanya.

Menurut Mohamad, pendirian rasmi UMNO telahpun dinyatakan oleh Presiden Parti kelmarin dan semua ahli serta pendokong setia parti tanpa mengira kedudukan, jawatan dan pangkat .

Semua ahli dan pendokong setia parti, walau apa pun kedudukan, jawatan dan pangkat mereka di dalam dan di luar Kerajaan, wajib akur dan patuh terhadap pendirian tersebut wajib akur serta patuh.

Katanya, pendirian rasmi UMNO adalah keputusan kolektif parti selari dengan suara akar umbi di Perhimpunan Agung UMNO, dan telah diperhalusi dan diabsahkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi 7 Julai yang lalu.

Susulan pencerahan dari Istana Negara kelmarin, maka bertambah kukuh lagi kebenaran pendirian parti.

“Kerajaan telah jelas membelakangkan institusi diraja, melakukan tindakan tidak berpelembagaan dan tidak berlaku benar di Parlimen yang mulia.

“Jawapan balas kerajaan terhadap kenyataan Istana Negara malam tadi pula telah menyusutkan lagi keadaan.

Kenyataan tersebut telah menjuruskan Malaysia ke suatu krisis Perlembagaan yang serius. Sikap Kerajaan jelas angkuh dan tiada kesusilaan terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Saya rasa siapa-siapa pun jangan bertindak mengatasi undang-undang dan perlembagaan; irrespective you are rakyat marhaen, para menteri ataupun raja-raja.

Comments are closed.