Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto HAFIZ SOHAIMI, 31 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mahu pun pembangkang perlu melupakan seketika ‘peperangan’ politik dan sama-sama berganding bahu membantu menyelesaikan isu Covid-19.

Itu kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditanya mengenai situasi semasa keadaan politik di negara ini.

Menurut beliau, tidak kira mana-mana parti politik sekali pun, fokus utama yang perlu diberi perhatian adalah kesusahan yang dialami rakyat ketika musim pandemik Covid-19.

“Lama sudah saya cakap, dari awal lagi saya katakan, tidak kira parti mana sekali pun fokus kita sepatutnya kepada isu yang mendesak hari ini iaitu Covid-19 kerana rakyat sekarang tiada pendapatan jadi masalah-masalah ini lebih besar sebenarnya.

“Sewaktu di Parlimen, pada hari Khamis patutnya Menteri Kewangan bentangkan mengenai bantuan-bantuan kerajaan kepada rakyat, sepatutnya dibincangkan secara lebih terperinci kerana itu apa yang rakyat hendak dengar, apa cadangan dari pihak pembangkang untuk menambah baik apa yang dilakukan oleh kerajaan tetapi berperang dari pagi, tak sempat pun nak bahas.

“Sebab itu saya kata, lupakan peperangan politik ini. Hari ini apa yang penting adalah kita bersama-sama tidak kira mana-mana parti sekali pun, saya percaya tugas mereka untuk bantu rakyat jadi kalau nawaitu mereka sama tiada sebab kita tidak boleh meletakkan perbalahan politik ke tepi buat seketika,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Tambah Ismail Sabri, kesemua pihak seharusnya berganding bahu dalam membantu menyelesaikan isu Covid-19 dan kesan daripada pandemik yang dialami oleh rakyat.

“Kesan daripada Covid-19, rakyat yang mengalami kesusahan, mungkin mereka tidak ada peluang dan ruang untuk meniaga kerana prosedur operasi standard yang ketat.

“Patutnya kita sama-sama cari jalan membantu menyelesaikan masalah rakyat dan bukan berbalah yang akhirnya tidak dapat menyelesaikan apa-apa isu selain boleh menjejaskan apa yang dilakukan oleh kerajaan untuk rakyat,” katanya – MalaysiaGazette