Datuk Seri Shahaniza Shamsudin

KUANTAN – Seramai 145 peserta e-Forum Moh Bangkit! Wanita Mendepani Cabaran Masa Kini yang bersidang secara maya mendapat sambutan.

Penganjurannya dilihat  berjaya mengupas isu yang dihadapi semasa mendepani pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, pihaknya memberi sokongan untuk menjayakan sesi webinar anjuran Open Universiti Malaysia (OUM) bagi menerokai potensi pelbagai masyarakat.

“Kita faham, dalam keadaan kekangan ekonomi dan kehilangan sumber pendapatan seperti yang berlaku sekarang akan menyebabkan permulaan konflik dan akan menjurus kepada depresi serta tekanan emosi.

“Kita perlu sedikit sebanyak mendengar dan mengambil iktibar dari pengalaman orang lain dalam menangani cabaran serta mengambil sesuatu kejadian yang berlaku itu sebagai sesuatu yang positif.

“Kita harus bangkit dan menjadi wanita yang ‘versatile’ dan dinamik, wanita yang boleh menghadapi segala cabaran dan rintangan,” jelasnya ketika berucap pada program berkenaan.

Sebahagian peserta e-Forum Moh Bangkit!

Sementara itu, Pengarah OUM Kuala Lipis, Mohammad Naim Ismail pula berkata, objektif pelaksanaan forum membincangkan tentang cabaran masa kini yang dihadapi semua orang terutamanya wanita selain peserta dapat mempelajari cara mengawal mengurangkan depresi.

“E-Forum ini telah memberi inspirasi dari orang yang berjaya dalam menempuhi cabaran, dapat membuka minda sertra memberikan semangat baru dan tips kawalan emosi,” katanya.

Bagi peserta Harlina Mohd Tahir, 42, beliau  terinspirasi dengan perkongsian apabila menyedari perlu untuk bangkit daripada kegagalan dan mencari platform untuk memulakan kerjaya.

“Pengisian membuat saya menjadi wanita yang punyai simpanan duit sendiri untuk kegunaan diri sendiri mahu pun untuk menyokong dan membantu ahli keluarga yang lain, terutamanya dalam membantu dan membalas jasa ibu bapa kita,” katanya.

Bagi Pengerusi PUSPANITA Pahang, Datin Seri Kamariah Mohamad, 58,  forum berdurasi lebih dua jam sangat menarik di mana perkongsian yang baik dan bermakna untuk wanita agar dapat  bersemangat waja. – MalaysiaGazette