Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra bersama penerima vaksin ketika membuat lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 31 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa mendengar suara dan pandangan dari rakyat tanpa mereka perlu turun ke jalanan mengadakan protes, kata Timbalan Perdana Menteri.

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tindakan menganjurkan himpunan di tempat awam ketika ini hanya mengundang kepada risiko penularan jangkitan Covid-19.

“Kita mendengar suara daripada mana-mana sekali pun, bukan atas protes jalan raya sahaja, melalui aplikasi WhatsApp sekali pun kita dengar. Saya sendiri hari-hari menerima cadangan daripada rakyat menerusi WhatsApp dan pandangan rakyat kita ambil perhatian.

“Malah sesi Parlimen yang bersidang selama empat hari pada minggu ini fokusnya adalah untuk menyelesaikan isu rakyat dan Covid-19. Ia merupakan ruang untuk ahli Parlimen yang mewakili rakyat menyuarakan pandangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Justeru, Ismail Sabri berkata, setiap perhimpunan adalah salah di bawah Akta 324 dan bimbang keselamatan mereka yang berkumpul beramai-ramai di jalanan kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku selepas itu.

“Mungkin ada dalam kalangan mereka akan mendapat jangkitan dan kemudian bawa balik ke rumah dan akhirnya akan terus merebak hasil perhimpunan yang diadakan.

“Sebab itu saya kata, suara tanpa protes pun boleh didengar oleh kerajaan, yang penting adalah keselamatan diri patut dijaga,” ujarnya.

Terdahulu, himpunan ‘Keluar dan #Lawan’ yang dianjurkan oleh Sekretariat Solidariti Rakyat memenuhi Jalan Tun Perak bermula pada pukul 10.30 pagi sehingga 1 tengah hari tadi sebagai tanda protes terhadap kerajaan Perikatan Nasional. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Himpunan #Lawan gagal ‘tawan’ Dataran Merdeka

2 Komen

  1. Kerajaan tak dengar pun suara rakyat! Rakyat telah memilih wakil2 mereka di parlimen…tetapi kerajaan menafikan suara wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat…di pilih! ko faham ke idak Mail Sabri????

  2. Jangan ingat rakyat Malaysia berfikiran dangkal dengan membawa semua isu ke himpunan jalanan. Saya setuju sesetengah parti politik dan NGO menggunakan himpunan jalanan untuk mencapai matlamat mereka. Situasi negara ini semakin hari semakin buruk. Rakyat telah menyuarakan rasa tidak puas hati mereja di saluran-saluran yang betul. Malahan sejak PKPP 1.0 lagi rakyat menyokong dan membantu kerajaan untuk menangani pandemik ini. Apa yang rakyat dapat atas pengorbanan meteka? Rakyat semakin susah, sumber pendapatan tiada dan lagi parah penularan Covid-19 semakin buruk!!! Kilang dan tapak pembinaan terus dibuka, peniaga-peniaga kecil diarah tutup sedangkan menyumbang kepada kes-kes baru adalah kluster perkilangan dan tapak binaan. Siapa yang bekerja di tempat-tempat ini, warga asing. WARGA ASING SEMAKIN MEWAH tetapi WARGA TEMPATAN SEMAKIN SUSAH…Dari sudut mana yang TPM kata kerajaan MENDENGAR, cuba jelaskan.

Comments are closed.