Orang ramai yang memakai baju berwarna hitam hadir untuk menyertai protes #Lawan sebagai tanda tidak puas hati terhadap pentadbiran kerajaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 31 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima lebih daripada 20 laporan polis daripada orang ramai di seluruh negara bagi membantah penganjuran himpunan “Keluar dan #Lawan” yang diadakan di ibu negara semalam.

Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PDRM sebelum ini telah beberapa kali memberi peringatan supaya semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) demi keselamatan orang ramai .

“Oleh yang demikian, sikap penganjur dan peserta yang berdegil untuk mengadakan perhimpunan walaupun telah diberikan nasihat agar mengutamakan keselamatan kesihatan merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab, lebih-lebih lagi dalam situasi semasa ketika penularan wabak covid-19 yang memerlukan kerjasama semua untuk dibendung.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Himpunan #Lawan: Penganjur, peserta akan dipanggil ambil keterangan 

“Pemantauan PDRM semasa perhimpunan berkenaan telah mengesan insiden-insiden di mana penganjur dan peserta perhimpunan secara jelas, telah melanggar syarat-syarat SOP PPN serta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah beliau, polis telah memulakan siasatan ke atas penganjur dan peserta perhimpunan berkenaan di bawah peruntukan Akta 342 dan akta-akta lain yang relevan.

Menurut beliau setakat ini, seramai 29 individu telah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk melengkapkan kertas siasatan, manakala beberapa individu lain masih dalam proses dikenal pasti daripada rakaman video dan gambar.

“Kesemua individu yang terlibat diminta memberikan kerjasama dalam siasatan penganjuran perhimpunan tersebut,” tegasnya.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kurung dan tahan mereka SEMUA penganjur dalang peserta dalam wad ICU COVID supaya lihat sendiri kebenaran covid dan pengorbanan frontliner…..jika denda kompaun nanti ramailah kutip derma macam sadiq sigaragar

Comments are closed.