Gambar hiasan.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan semua sesi mesyuarat dalam persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan sementara waktu untuk tempoh dua minggu, bermula 29 Julai hingga 11 Ogos ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen serta pembentangan dirancang di Parlimen atau melibatkan individu yang berada di Parlimen pada 26 Julai sehingga 29 Julai 2021.

“Walaupun jumlah kes positif Covid-19 dikesan semasa sidang Parlimen adalah 0.8 peratus, namun hasil penilaian risiko mengambil kira faktor epidemiologi dan persekitaran, didapati persidangan Parlimen satu perhimpunan berisiko tinggi berlaku penularan jangkitan Covid-19.

“Penilaian risiko kejadian jangkitan Covid-19 di Parlimen akan dinilai semula dari semasa ke semasa.

“Semua individu yang berada di Parlimen pada 26 Julai sehingga 29 Julai 2021 dinasihatkan memantau status kesihatan secara kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 29 Julai lalu kira-kira jam 12.30 tengah hari, KKM telah dimaklumkan mengenai dua kes positif Covid-19 yang telah hadir ke Parlimen.

Kes pertama merupakan seorang petugas yang telah hadir ke Parlimen sejak 26 Julai 2021 dan dikesan positif melalui ujian pengesahan RT PCR di sebuah fasiliti kesihatan kerana bergejala batuk.

Bagi kes kedua pula dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi 29 Julai 2021 jam 12:30 tengah hari menggunakan ujian kendiri RTK antigen (Ag) saliva kerana gejala batuk dan loya.

Pada 30 Julai 2021, saringan pra-persidangan Dewan Negara telah dijalankan ke atas 100 individu menggunakan ujian RT PCR dan mendapati sembilan kes positif Covid-19 dan pemakluman kes telah dilaporkan kepada KKM pada 1 Ogos 2021.

Menurut Dr Noor Hisham, cadangan itu dibuat susulan persekitaran Parlimen yang bertutup meningkatkan risiko penularan jangkitan memandangkan virus SARS-CoV-2 tersebar atau menular melalui udara dan boleh kekal dalam persekitaran selama beberapa jam.

“Tempoh berada dalam Dewan dan sekitar Parlimen yang panjang memberi risiko pendedahan berulang. Perkongsian kemudahan asas seperti tandas, surau, kafe dan sebagainya oleh ramai individu termasuk kes.

“Penjarakan fizikal dalam Dewan kurang dari satu meter antara satu sama lain walaupun terdapat penghadang meja.

“Perkumpulan kecil kerap berlaku di dalam dan di luar dewan. Mengambil kira hasil penilaian risiko semasa dan bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19 dari berlaku di Parlimen,” katanya.

Selain itu, katanya KKM turut mengambil kira faktor epidemiologi di mana terdapat enam kes dengan kadar kebolehjangkitan tinggi dan bergejala yang memberi risiko berlaku penularan jangkitan dan berpotensi menjadi superspreader.

“Kebolehjangkitan adalah tinggi dua hari sebelum gejala dan berterusan sehingga hari ke tujuh. Pergerakan kes di sekitar kawasan Parlimen berkemungkinan boleh menyebabkan pendedahan kepada individu lain.

“Ramai yang hadir ke Sidang Mesyuarat Khas Parlimen ini dalam kategori warga emas dan kemungkinan mempunyai faktor komorbid yang meningkatkan risiko jangkitan dan tidak semua individu yang hadir di Parlimen telah mendapat vaksinasi Covid-19 yang lengkap,” katanya.

Pada 26 Julai 2021 jam 8 pagi, Ketua Pengarah Kesihatan (KPK) mewakili KKM telah membuat pembentangan kepada Mesyuarat Penyelarasan Bagi Urusan Berkaitan Mesyuarat Khas Bagi Dewan Rakyat berikutan Penularan Wabak Covid-19 di Parlimen sebelum persidangan.

Mesyuarat telah dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Menteri Menteri Kanan Luar Negeri yang mengetuai Kluster Keselamatan, Menteri Parlimen dan Undang-Undang, Speaker dan Timbalan-Timbalan Speaker Dewan Rakyat, serta ketua atau wakil kanan parti-parti politik dari pihak Kerajaan dan Pembangkang. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. berkatalah ANWARFIKUN dan sekutu2nya ….TIDAK…TIDAK…rancangan kami berkuasa dengan NOMBOR 2 EKOR sengaja diGAGALKAN

  2. PERLU INGAT BAHAWA RAMAI DI KALANGAN MEREKA ADALAH ORANG-ORANG TUA >>>>>>>“Kebolehjangkitan adalah tinggi dua hari sebelum gejala dan berterusan sehingga hari ke tujuh. Pergerakan kes di sekitar kawasan Parlimen berkemungkinan boleh menyebabkan pendedahan kepada individu lain.

    “Ramai yang hadir ke Sidang Mesyuarat Khas Parlimen ini dalam kategori warga emas dan kemungkinan mempunyai faktor komorbid yang meningkatkan risiko jangkitan dan tidak semua individu yang hadir di Parlimen telah mendapat vaksinasi Covid-19 yang lengkap,”

Comments are closed.