Datuk Zulkarnain Mahdar
Zulkarnain Mahdar. foto IQBAL BASRI, 17 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Badan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menggesa Polis Di Raja Malaysia (PDRM) bertindak tegas dengan mengenakan kompaun kepada setiap seorang peserta termasuk penganjur demonstrasi haram #Lawan, semalam.

Pengerusi Penajanya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, layanan istimewa tidak seharusnya diberikan kepada peserta terbabit sedangkan kompaun sama telah dikenakan ke atas individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana hadir menunaikan solat di masjid, surau dan pejabat persendirian.

“Untuk rekod sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak Mac 2020 hingga Julai lalu, dianggarkan ratusan umat Islam telah dikenakan kompaun atas kesalahan melanggar SOP melaksanakan solat berjemaah, malahan mereka telah dihadapkan ke mahkamah.

“Terkini pada 21 Julai seramai 49 umat Islam telah dikenakan tahanan reman kerana telah melanggar SOP dengan menunaikan solat sunat Aidiladha di luar pekarangan Surau Taman Pelangi Juru, Bukit Mertajam.

“Kesemua umat Islam ini telah digari, dipakaikan dengan pakaian berwarna oren dan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Atas perasaan persaudaraan dan sebagai solidariti kepada umat Islam yang telah kenakan kompaun tersebut, kami ingin mendesak agar pihak berkuasa turut mengenakan tindakan yang serupa kepada kesemua peserta demo semalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, seramai kira-kira 400 individu berkumpul di kawasan berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek di ibu negara sejak pukul 10 pagi bagi menyertai himpunan Keluar dan #Lawan mendesak agar Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh Menteri Kabinetnya meletak jawatan.

Kumpulan berkenaan dilihat memakai pakaian hitam dengan memegang kain rentang, plakad serta ada di antara mereka yang dilihat memakai topi keselamatan dengan niat untuk berarak ke Dataran Merdeka.

Kumpulan tersebut mula berarak menuju ke Dataran Merdeka kira-kira pukul 11.25 pagi sebelum dihalang oleh pihak polis yang kemudiannya mengarahkan agar mereka beredar pada pukul 12.25 tengah hari.

Dalam pada itu, Zulkarnain tidak menolak kemungkinan untuk membuat laporan polis ke atas penganjur termasuk kesemua peserta kerana perhimpunan ini secara jelas dibuat tanpa permit, terlalu banyak pelanggaran SOP serta boleh menyebabkan Covid-19 merebak dalam kalangan peserta perhimpunan.

“Kami juga agak kesal kerana pemimpin-pemimpin parti pembangkang tidak membatalkan perhimpunan ini, malahan turut hadir bersama.

“Adakah mereka yakin kesemua peserta berada dalam keadaan negatif Covid-19? Adakah kesemua peserta telah melakukan ujian RT-PCR sebelum turun berdemo.

“Sedarkah pemimpin-pemimpin ini bahawa varian Delta sedang mengganas di Kuala Lumpur termasuk Selangor,” katanya.

Katanya lagi, pemimpin-pemimpin pembangkang sepatutnya tidak menggunakan sidang khas Parlimen untuk membawa agenda politik mereka, apatah lagi melibatkan orang ramai untuk turun ke jalanan yang jelas satu perbuatan sangat tidak bertanggungjawab.

“Kita tidak dapat membayangkan sekiranya ada peserta yang positif Covid-19, mereka akan kembali ke rumah masing-masing, potensi untuk menjangkiti keluarga dan rakan-rakan mereka sudah tentu amat tinggi.

“Ini jelas satu musibah amat besar, kemudiannya akan dipulangkan semula kepada petugas barisan hadapan bertungkus lumus menangani kes Covid-19 yang sedang mencanak ketika ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.