logo bomba
Foto hiasan

CHUKAI – Lelaki yang dihanyutkan arus deras atau ‘kepala air’ ketika mandi di Sungai Cerul, Bandar Baru Cheneh di sini semalam, ditemukan lemas petang tadi.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata, Mohamad Shafiq Ab Llah, 20, ditemukan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dalam keadaan terapung kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian pada 5.15 petang.

“Mayat mangsa timbul ke permukaan air selepas pasukan penyelamat melakukan teknik pusaran dipermukaan air menggunakan bot.

“Mangsa ditemui dalam keadaan masih lengkap berpakaian dan mayatnya telah diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke hospital bagi tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Petang semalam, Mohamad Shafiq bersama dengan lima rakannya yang berusia lingkungan 13 hingga 20-an telah mandi dan memukat ikan di Sungai Cerul sebelum mangsa dihanyutkan arus deras manakala yang lain sempat menyelamatkan diri. – Bernama