Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR- Polis menafikan dakwaan seorang aktivis, Sarah Irdina Mohamad Arif, 20, bahawa dia telah dipaksa berbogel dan membuka pakaian semasa berada dalam lokap polis.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, wanita terbabit ditahan polis bersabit kenytaaan dalam akaun Twitter MISI: Solidariti yang dikendalinya.

Katanya, Sarah Irdina ditangkap dan dimasukkan ke dalam Lokap Berpusat Kuala Lumpur, Jinjang pada jam 7 malam 29 Julai lalu atas kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

“Proses penempatan dia ke dalam lokap adalah menepati prosedur yang ditetapkan mengikut Kaedah-Kaedah Lokap 1953 (L.N.328/1953) dan Perintah Tetap Ketua Polis Negara A118.

“Sebelum dimasukkan ke dalam sel lokap, setiap tahanan akan dibawa ke dalam bilik khas untuk diperiksa oleh petugas lokap (untuk kes ini, anggota lokap wanita) bagi memastikan tiada sebarang kecederaan fizikal dan tiada barang salah dibawa masuk ke dalam lokap.

“Seterusnya dia menukar pakaiannya kepada pakaian lokap berwarna ungu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ujar beliau, proses menukar pakaian untuk wanita itu dilakukan di dalam bilik khas yang tidak boleh dilihat oleh orang lain.

Tambah beliau, sepanjang penahanan aktivis wanita itu di dalam lokap, prosedur operasi standard (SOP) lokap dipatuhi sepenuhnya.

“Sel lokapnya hanya ditempatkan petugas dan tahanan wanita sahaja dan petugas atau tahanan lelaki adalah tidak dibenarkan lalu atau masuk ke kawasan terbabit.

“Dia dibebaskan dengan jaminan polis jam 12.30 tengah malam 30 Julai lalu dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih dan boleh menimbulkan kegusaran,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Skrip cerita lama tuu…. 1998 laku…. tapi skrg dah tak laku dah….. Nak tukar baju memanglah kena bogel…. Awat, hang kena raba ke?

Comments are closed.