Pemandangan dari hadapan rumah Shamsiah Hassan di Kampung Sungai Keladi, Kota Bharu.

KOTA BHARU – Walaupun kudratnya tidak mampu, Shamsiah Hassan redha menjalani sisa-sisa kehidupannya di sebuah rumah usang, milik pusaka keluarga di Kampung Sungai Keladi di sini.

Sekali pandang pasti tidak perasan wujudnya sebuah rumah yang telah usang dek terlindung semak samun di sekelilingnya.

Apatah lagi, suasana di luar dan dalam rumah sunyi-sepi.

Namun, dalam rumah usang yang dimamah usia ini menjadi tempat Shamsiah, 63, yang lumpuh berlindung daripada hujan dan panas sejak 11 tahun lalu.

Dia hanya mampu mengesot untuk bergerak di dalam rumahnya itu.

Shamsiah Hassan

Rumah ini asalnya ada dua bilik tetapi pintu biliknya terpaksa dikunci kerana kedua-dua bilik sudah rosak.

Berikutan itu, Shamsiah hanya menghabiskan seluruh masanya di ruang tamu.

Menurut wanita itu, sebelum ini rumah berkenaan didiami bersama adiknya tetapi kini dia tinggal seorang diri.

Ini kerana adiknya itu kini duduk bersama anaknya.

Anak sulung daripada tiga beradik ini belum pernah berkahwin.

Rumah pusaka usang ini memerlukan tandas dan bilik air.

Wanita yang juga menghidap diabetes dan darah tinggi itu berkata, walaupun rumah berkenaan sangat uzur, selain dikelilingi ‘hutan kecil’ disekelilingi namuan beliau pasrah.

Dengan keadaan kesihatan yang tidak menentu, Shamsiah tidak mampu berbuat apa-apa.

Cuma beliau bimbang kerana busut anai-anai semakin membiak di dalam rumah tersebut.

Malah, rumah itu juga tidak mempunyai tandas kerana tandas asal yang dibina di luar kediaman tersebut sudah rosak dan telah dilitupi semak.

Busut anai-anai hidup dan semakin membiak di dalam rumah

Katanya, dia membuang air dan mandi dari atas rumah tersebut dan air mengalir melalui lubang-lubang papan yang dicabut.

Walaupun menjalani kehidupan dalam serba kekurangan, Shamsiah kelihatan tenang berkata, dia tetap bersyukur, sekurang-kurangnya ada tempat berteduh.

Wanita ini juga gembira apabila elaun bantuannya dinaikkan kepada RM600 oleh Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) baru-baru ini.

“Nasib baik ramai bantu, makan harian pun banyak disumbangkan dan ihsan jiran serta penduduk kampung di sini.

“Kadang-kala ada juga orang tolong belikan makanan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Namun, jauh di sudut hati kecilnya, Shamsiah berharap ada pihak-pihak yang sudi membantu membaiki keadaan rumahnya.

Ruang belakang rumah papan ini hampir reput dan bakal runtuh jika tidak diselenggara dengan segera.

“Kalau dapat bantuan bina bilik air dan tandas yang rendah untuk memudahkan makcik. Mudah untuk makcik urus diri sebab tak boleh jalan seperti orang lain,” ujarnya.

Shamsiah berkata, sebelum ini ada pihak yang berjanji untuk membantu membina rumah dan membaiki kerosakan rumah tersebut namun tiada perkembangan sehingga hari ini.

Semak samun dan pokok menjalar tumbuh sehingga menutupi rumah usang ini

Sementara itu, seorang penduduk kampung yang dikenali Ahmad Zambree Zakaria bersimpati dengan nasib yang menimpa Shamsiah dan mengharapkan ada pihak yang sanggup bergotong-royong bagi membaiki kerosakan rumah wanita ini.

“Di belakang dan tepi rumah semak samun dan pokok menjalar sehingga menutupi ruang rumah. Sebab tu nampak seperti hutan.

”Rumahnya juga banyak yang bocor, atap rumah [un kelihatan usang sangat, hanya ditutup dengan plastik sampah. – MalaysiaGazette