PASIR GUDANG – Perubahan air bewarna hitam di Sungai Kim Kim di sini bukan akibat pembuangan sisa toksik daripada kilang berhampiran seperti mana yang didakwa.
Sebaliknya Ketua Kampung Bukit Pulai, Zulkifly Kassim berkata, pencemaran yang berlaku tiga hari lepas itu disebabkan pembuangan kumbahan di sungai tersebut daripada kawasan berhampiran.
Beliau berkata, penduduk mula menyedari berlakunya pembuangan kumbahan sepanjang sungai tersebut sejak setahun lalu.
Namun jelas beliau, ia tidak memberi kesan teruk kepada penduduk sekitar seperti mana insiden pencemaran Sungai Kim Kim beberapa tahun dahulu sehingga mengakibatkan beratus-ratus murid sekolah pengsan akibat terhidu bau sisa toksik.
“Setakat yang saya tahu pembuangan ini adalah berpunca daripada sisa kumbahan yang dilepaskan masuk ke dalam sungai ini.
“Bukan seperti yang kita lihat daripada kes lepas-lepas seperti pembuangan sisa toksik dari kilang, kerana kalau itu berlaku kita dapat lihat daripada bau dia lain, sekarang macam ini hitam, cuma sekejap, tetapi bila hujan pulih semula.
Kata Zulkifly lagi, sejak penduduk mula membuat pantauan di sungai terbabit, tiada lagi individu tidak bertanggungjawab membuang sisa toksik di sungai berhampiran.
“Kalau kita lihat biasanya pembuangan dilakukan waktu senja jadi selalunya jika ada air pasang dia terus hilang.
“Masih wujud tetapi bukan dari sisa toksik pencemaran itu daripada kumbahan kerana kilang-kilang yang besar seperti berlaku sebelum ini memang tiada.
“Sudah setahun tiada berlaku insiden pembuangan toksik ini, Alhamdulilallah kerana kita jadi penduduk pun selalu pantau jadi mereka nak buang sesuka hati pun jadi takut,” katanya ketika ditemui di sini.
Media melaporkan, pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang kembali dikesan baru-baru ini selepas terlihat air bewarna hitam serta berbau busuk menerusi satu perkongsian Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon.
Bagaimanapun, menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS), pasukan dari Unit Penguatkuasa Industri JAS bergegas ke Sungai Kim Kim setelah menerima laporan berkenaan untuk menjalankan siasatan susulan aduan awam pencemaran sungai itu pada jam 10 malam.
“Siasatan di lokasi kejadian mendapati air sungai bewarna hitam dan terdapat bau busuk dikesan seperti mana aduan yang diterima.
“Pasukan telah mendapatkan butiran maklumat kejadian daripada penduduk sekitar untuk siasatan,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, tiga hari lalu pasukan JAS dari cawangan Pasir Gudang juga telah menyusuri sekitar kawasan Sungai Kim Kim dan melakukan pemantauan melalui dron bagi mengenal pasti punca yang boleh disyaki menyebabkan pencemaran tersebut. – MalaysiaGazette