KUALA LUMPUR – Bayo Pay (M) Sdn Bhd (Bayo Pay), sebuah syarikat teknologi kewangan (fintech) tempatan melebarkan sayap perkhidmatan untuk industri pembinaan melalui aplikasi mudah alih Construx dengan memperkenalkan perkhidmatan kiriman wang atas talian.

Inisiatif terbaru ini adalah kolaborasi Bayo Pay dengan MaxMoney Sdn Bhd (MaxMoney).

Perkhidmatan ini dijangka memanfaatkan lebih daripada 600,000 pekerja binaan yang memegang Kad Pendaftaran Personel Pembinaan CIDB (Kad Hijau CIDB) untuk melaksanakan kiriman wang atas talian ke luar negara.

Kemudahan kiriman wang melalui Kad Hijau CIDB membolehkan pemegang kad melaksanakan transaksi pengiriman wang secara atas talian.

Melalui kolaborasi ini, Bayo Pay menyediakan platform untuk pekerja binaan mengirim wang ke luar negara dengan selamat dan lancar.

Selain memanfaatkan kemudahan teknologi digital di hujung jari, pendekatan ini memastikan jaminan keselamatan individu memandangkan transaksi tidak perlu dilaksanakan secara fizikal di kaunter ketika pandemik ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bayo Pay, Aznul Abdullah berkata, kerjasama terbaharu ini mencerminkan komitmen kami untuk memberikan penambahbaikan berterusan bagi solusi pembayaran digital dan transaksi untuk industri pembinaan.

Sebelum ini Bayo Pay telah mengumumkan Construx Payroll dan Construx e-Wallet yang merupakan sebahagian daripada Program Penambahbaikan Kad Hijau CIDB.

Solusi ini disediakan secara percuma untuk semua syarikat pembinaan dan pekerja binaan yang berdaftar dengan CIDB.

Perkhidmatan kiriman wang atas talian adalah ciri terbaru aplikasi ini yang meluaskan fungsi penggunaan Kad Hijau CIDB dan aplikasi mudah alih Construx untuk pemegang kad tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif MaxMoney, A. Abdul Hamid berkata, MaxMoney adalah pelopor dalam Perniagaan Perkhidmatan Wang di Malaysia dengan pengalaman melebihi 30 tahun.

Perkhidmatan yang ditawarkan membolehkan individu dan pemilik perniagaan menukar dan memindahkan wang pada bila-bila masa melalui maxmoney.com.

MaxMoney juga merupakan syarikat Malaysia pertama yang memperoleh Lesen Perniagaan Perkhidmatan Wang, yang dikawal selia Bank Negara Malaysia. Perkhidmatan pengiriman wang yang ditawarkan meliputi lebih daripada 100 mata wang asing merentasi 190 negara.

Seterusnya, aplikasi mudah alih Construx akan dinaiktaraf dengan pelbagai fungsi yang bakal memberi manfaat kepada pemegang Kad Hijau CIDB dan industri pembinaan.

Bayo Pay menawarkan platform Digital Payment-as-a-Service kepada pelanggan mereka melalui pendekatan ‘white-label’ dan sistem pembayaran yang diperlukan untuk menawarkan pelbagai produk kewangan dan bukan kewangan.

Perkhidmatan pengiriman wang digital berkait rapat dengan solusi Platform Pembayaran Gaji Construx Payroll yang mana syarikat pembinaan dapat
meningkatkan keselamatan dan kebajikan personel binaan melalui pembayaran secara digital.

Platform Pembayaran Gaji Construx Payroll boleh digunakan oleh semua kontraktor dan personel binaan yang telah mendaftar dengan CIDB secara percuma tanpa sebarang kos. – MalaysiaGazette