Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tindakan pihak polis menghalang ahli Parlimen pembangkang memasuki Dewan Rakyat hari ini tidak memberi tanda baik terhadap demokrasi berparlimen di negara ini.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, langkah itu bukan sahaja bertentangan dengan kehendak istana malah ia turut bertembung dengan institusi demokrasi.

“Kami kesal dengan apa yang berlaku pagi ini apabila 110 orang ahli Parlimen disekat memasukki Parlimen untuk menjalankan tugas oleh pihak polis dan FRU.

“Malang dan dikesali cara pihak keselamatan mempamirkan seolah-olah kekerasan akan diguna keatas ahli Parlimen.

“Kami persoal atas undang-undang apa ahli Parlimen disekat masuk ke dalam Parlimen?” soalnya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Azmi berkata, pihaknya berpendirian isu berkaitan rakyat yang menghadapi pandemik Covid-19 perlu dibincangkan di Parlimen sebagaimana yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Kami berpandangan bila Parlimen dihalang daripada berfungsi bermakna demokrasi dilumpuhkan.

“Saat puluhan polis dan FRU lengkap dengan perisai dan baton berdepan dengan wakil rakyat yang tidak dibenar masuk ke Parlimen, jelas sistem demokrasi sudah tercabar dan negara menuju kepada pemerintahan autokratik,” katanya.

Tegasnya, Mapim memandang serius status pergolakkan politik negara ketika ini yang berkait dengan pertembungan antara Jemaah Kabinet dengan Istana Negara.

Mohd Azmi Abdul Hamid

Tambahnya, kerajaan di bawah Perdana Menteri sekarang ini dilihat melanggar Perlembagaan dan institusi Parlimen serta durhaka kepada Agong.

Katanya lagi, MAPIM menuntut Ketua Pembangkang memohon mengadap Agong bagi menyelesaikan krisis tersebut dengan segera. – MalaysiaGazette