Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu sebuah premis yang dipercayai menjalankan perniagaan menjual gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen di Taman Daya pada Sabtu lalu.

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu sebuah premis yang dipercayai menjalankan perniagaan menjual gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen di Taman Daya pada Sabtu lalu.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Johor, Mohd Hanizam Kechek berkata, operasi dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa kira-kira pukul 10 pagi.

“Sepasukan 10 pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNHEP Johor telah menyerbu sebuah premis perniagaan yang menjalankan perniagaan menjual barang kawalan iaitu gas petroleum cecair (LPG) tanpa memiliki lesen yang sah di kawasan Taman Daya.

“Operasi ini dijalankan berikutan aduan orang awam dan hasil daripada maklumat serta risikan yang dijalankan selama empat minggu, premis ini disyaki digunakan sebagai tempat untuk menjalankan aktiviti penjualan, pengedaran dan menjadikan tempat simpanan bagi tong -tong LPG sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Hanizam, menerusi serbuan itu,  pihaknya merampas sebanyak 92 tong LPG seberat 14 kilogram, sebuah lori serta tiga buah motosikal dianggarkan bernilai RM26,800.

“Dalam serbuan ini juga seorang lelaki warganegara asing berumur 30 tahun yang berada dalam premis ditahan bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Jika sabit kesalahan, pemilik premis boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, serbuan yang dilakukan hasil daripada makluman awam dan risikan yang dijalankan selama empat minggu.

“Risikan mendapati premis terbabit digunakan sebagai tempat untuk menjalankan aktiviti penjualan. Selain itu premis terbabit juga dijadikan sebagai tempat pengedaran dan penyimpanan tong-tong LPG sebelum diedar ke kawasan sekitar,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast