Anatoly Antonov. foto Xinhua

WASHINGTON – Amerika Syarikat meminta 24 orang diplomat Rusia untuk meninggalkan negara itu pada 3 September ini kerana tamat tempoh visa.

Duta Besar Rusia ke Amerika Syarikat berkata, pihaknya telah menerima senarai 24 diplomat yang dijangka meninggalkan negara itu sebelum 3 September 2021.

Anatoly Antonov berkata, hampir semua diplomat akan pulang tanpa ada pengganti kerana Washington secara tiba-tiba memperketat prosedur pengeluaran visa.

Menurutnya, Jabatan Luar Negeri secara sepihak menetapkan had tiga tahun untuk tempoh penugasan kakitangan Rusia di Amerika Syarikat.

Sedangkan, katanya peraturan itu tidak dikenakan kepada negara lain.

Bagaimanapun, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Ned Price menafikan kenyataan Antonov yang didakwa tidak tepat dan tidak betul.

“Had tiga tahun untuk sah visa bagi orang Rusia, itu bukan perkara baru. Apabila visa tamat … individu-individu ini akan meninggalkan negara ini atau memohon lanjutan.

”Itulah yang sedang berlaku di sini,” katanya kepada wartawan semasa taklimat harian.

Wawancara duta besar Rusia dilakukan dua hari selepas Jabatan Negara berkata, ia telah memberhentikan 182 pekerja tempatan dan puluhan kontraktor di kemudahan diplomatik Amerika Syarikat di Rusia seperti yang diminta oleh Moscow.

Price juga menafikan bahawa Amerika Syarikat menggunakan visa diplomat Rusia untuk membalas dendam sambil mengatakan “kami berhak untuk mengambil tindakan respons yang tepat terhadap tindakan Rusia.” – MalaysiaGazette