Bojan Hodak

KUALA LUMPUR – Biar pun terpaksa terbang ke Kota Kinabalu tanpa kehadiran penyerang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dalam misi mencari kemenangan sulung di laman lawan namun beliau kekal tenang bagi menghadapi Sabah di Stadium Likas esok.

Pengendalinya, Bojan Hodak, berkata, situasi itu bukanlah sesuatu yang asing buat KL City FC yang selama ini pernah berdepan situasi sama apabila mereka pernah kehilangan Dominique da Slyva selepas empat perlawanan.

Kali ini, penyerang import baharu, Kyrian Nwabueze pula dilanda kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang memaksa Bojan mungkin terpaksa meletakkan kembali Romel Morales di posisi serangan.

Situasi itu bertambah buruk apabila penyerang berpengalaman, Safee Sali mendapat demam denggi manakala pemain muda, Alif Safwan Mohd Sallahuddin dilihat belum bersedia.

“Sudah dua perlawanan kami turun tanpa penyerang tetapi kami masih tetap bermain dengan baik berbanding perlawanan-perlawanan sebelum ini.

“Inilah bola sepak, ada kalanya nasib akan baik atau buruk, itulah yang terjadi kepada kami apabila semua pemain di posisi lain tidak pernah mengalami kecederaan serius namun berbeza di posisi penyerang apabila kali kedua kami kehilangan pemain.

“Memang kami tidak jangka situasi ini akan terjadi dan bertambah buruk, perancangan saya untuk turunkan Safee untuk aksi dengan Sabah tidak dapat jadi kenyataan kerana mendapat demam denggi manakala Alif Safwan yang baharu bersama kita saya rasa belum bersedia untuk diturunkan.

“Jadi, seperti biasa saya akan mempertaruhkan Romel Morales sebagai penyerang utama namun situasi ini bukanlah sesuatu yang janggal kepada kami kerana pernah mengharunginya sejak ketiadaan Dominique, ” katanya.

Sabah bakal menjadi lawan KL City di Stadium Likas pada Rabu dengan satu lagi perlawanan turut berlangsung iaitu membabitkan Petaling Jaya City (PJ City) dan Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

KL City yang menduduki tangga keenam Liga Super meraih tiga keputusan seri berturut-turut sejak Liga Malaysia kembali bersambung pada 24 Julai lalu termasuk perlawanan terakhir menyaksikan mereka diikat seri 1-1 dengan Melaka United di laman sendiri.

Selepas lapan perlawanan di tempat lawan, KL City masih lagi belum mampu menang apabila sekadar meraih empat keputusan seri dan empat kekalahan.

Hodak bagaimanapun tetap berasakan peningkatan sudah banyak dipamerkan oleh pasukan cuma berasakan tuah tidak berpihak kepada KL City untuk meraih kemenangan.

“Sememangnya saya sedar kami belum pernah menang di laman lawan setakat ini tetapi apa yang lebih diutamakan adalah permainan kami sendiri kerana saya percaya keputusan akan datang jika kami bermain baik.

“Selain itu, jangan lupa kedudukan kami di tangga keenam yang merupakan antara satu pencapaian terbaik buat Kuala Lumpur sejak Liga Super diperkenalkan 25 tahun lalu.

“Jadi, saya rasa tidak tertekan dengan situasi ini kerana sejak awal menetapkan sasaran untuk kekal di Liga Super dan kami hanya memerlukan beberapa mata sahaja lagi untuk berbuat demikian, ” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast